Followers

Tuesday, September 22, 2009

Sabah & Sarawak: Asrama untuk murid prasekolah

SEMPORNA: Bermula tahun depan, kerajaan akan membina asrama khusus bagi menempatkan murid prasekolah di kawasan luar bandar terpilih, sejajar matlamat memperluaskan skop pendidikan peringkat berkenaan.

Sebagai perintis, 80 kanak-kanak di beberapa pulau di Semporna akan dipilih menetap di asrama dikendalikan sepenuhnya oleh Kemas bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran peringkat prasekolah dengan lancar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya memperuntukkan perbelanjaan RM2 juta bagi pelaksanaan projek berkenaan.

"Kita sedar sebahagian besar anak ini berusia dalam lingkungan lima hingga enam tahun dan dianggap terlalu muda untuk berjauhan dengan keluarga.

"Bagaimanapun, kita akan memastikan segala urusan persekolahan dan kehidupan harian mereka terutama makanan, pakaian dijaga sepenuhnya oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.

"Kita galakkan ibu bapa mereka menjenguk anak masing-masing setiap hujung minggu supaya ikatan kekeluargaan itu tetap erat tanpa menjejaskan masa depan anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Program Tambahan Makanan Seimbang (PTMS) Kemas daerah Semporna di Kampung Bubul di sini, kelmarin.

Hadir sama Ketua Pengarah Kemas, Datuk Abdul Fuad Mohd Nayan; Timbalan Pengarah Kemas Sabah, Anisah Saidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya, Datuk Ramlee Marhaban.

PTMS dikhususkan kepada keluarga Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) yang mempunyai anak bawah 12 tahun dan masih bersekolah.

Seramai 2,775 penerima disenaraikan di seluruh Sabah dan setiap keluarga menerima lima bakul makanan tambahan setahun.

Mengenai rasional di sebalik langkah menempatkan kanak-kanak prasekolah di asrama, Mohd Shafie berkata, ia membolehkan golongan sasar mendapat pendidikan asas pada usia selayaknya dengan sempurna tanpa diganggu latar belakang keluarga.

Katanya, kerajaan sedia memperluaskan pengwujudan asrama prasekolah itu ke seluruh negara, khususnya daerah terpencil wajar memiliki kemudahan sedemikian.

"Semporna dipilih kerana kebanyakan mereka ini tinggal di pulau dan pengangkutan harian adalah bot. Kalau cuaca buruk dan laut bergelora, ibu bapa tidak menghantar mereka ke sekolah.

"Ada juga kalangan mereka terlepas peluang ke prasekolah kerana ibu bapa tidak memahami kepentingan berbuat demikian.

"Kanak-kanak ini akan bersekolah di Tadika Kemas bersama rakan yang tidak tinggal di asrama. Kita mahu proses asimilasi dan pergaulan rakan sebaya berlaku secara semula jadi.

"Nasihat saya kepada mereka tinggal di pulau dan pedalaman kalau kita sayangkan anak, lepaskan mereka tinggal di asrama prasekolah demi ilmu untuk masa depan masing-masing," katanya.

0 comments: