Followers

Tuesday, July 7, 2009

Sabah&Sarawak: KPD buat kajian potensi tanaman Stevia di Sabah

Herba pengganti gula makin popular dalam industri makanan

SANDAKAN: Koperasi Pembangunan Desa (KPD) giat menjalankan penyelidikan saintifik terhadap kesesuaian penanaman herba 'Stevia' di Sabah berikutan potensi pasarannya yang luas, selain penggunaannya dalam industri makanan dan minuman yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Herba itu digunakan sebagai bahan pemanis yang sesuai untuk kesihatan terutama penghidap penyakit kencing manis kerana tidak mengandungi kalori dan karbohidrat.

Pengurus Besar KPD, Datu Basrun Datu Mansor, berkata walaupun herba `Stevia' sesuai di kawasan beriklim tropika, penyelidikan saintifik tetap perlu dilakukan dan jika didapati sesuai, KPD akan membuka ladang yang memanfaatkan penduduk luar bandar dan pedalaman sebagai kumpulan sasar peningkatan ekonomi.

"KPD juga akan mempelawa pelabur mengusahakan herba ini. Kita yakin dengan potensi dan keselamatannya berdasarkan rekod Jepun yang mengharamkan penggunaan bahan pemanis tiruan sejak 1970-an, sekali gus menjadi pengimport terbesar herba ini dari China dan India.

"Hakikat itu dengan sendirinya membuktikan `Stevia' adalah bahan pemanis asli," katanya dalam taklimat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalannya, Datuk Yahya Hussin yang melawat gerai pameran KPD sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Sabah di Padang Bandaran di sini, kelmarin.

Hadir sama dua Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bobbey Suan dan Datuk Musbah Jamli; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Ujang Sulani dan Pengerusi KPD, Ahmad Bujang.

Herba yang dikenali sebagai `Stevia Rebaudiana' itu adalah sejenis tanaman berasal dari Paraguay. Ia terkenal dengan daunnya yang manis dan penduduk asli Paraguay sudah menggunakannya sebagai bahan pemanis dalam minuman, masakan dan teh herba sejak dua abad lalu.

Tanaman itu semakin popular sebagai pengganti gula serta daun kering herba itu adalah 40 kali lebih manis daripada gula manakala ekstraknya dikatakan 300 kali lebih manis berbanding gula.

Negara pengeluar utama `Stevia' adalah China dan diikuti India, manakala pengimport dan pengguna terbesar adalah Jepun dengan 41 peratus daripada bahan pemanis yang digunakan berasaskan herba itu.

Datu Basrun berkata, kemanisan daun `Stevia' disebabkan dengan dua komponen dikenali `Stevioside' dan `Rebaudioside', selain mengandungi vitamin dan antikulat serta antibakteria.

"KPD menjangkakan lebih banyak negara meliputi negara maju seperti Amerika Syarikat meningkatkan penggunaan `Stevia' yang membuktikan potensi pasarannya terbuka luas," katanya.

0 comments: