Followers

Tuesday, July 7, 2009

Sabah&Sarawak: Pelaksanaan projek PPR dipantau Kerajaan Pusat

Pembinaan diutama kawasan bandar atasi masalah setinggan

BEAUFORT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan akan berfungsi secara langsung dalam membantu kerajaan Sabah menampung keperluan pembinaan kira-kira 10,000 unit kediaman menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negeri itu.

Timbalan menterinya, Datuk Lajim Ukin, berkata fokus usaha itu akan menjurus kepada penyediaan rumah lebih selesa untuk kemudahan golongan berpendapatan rendah.

"Untuk peringkat awal, keutamaan kita ialah pelaksanaan PPR di bandar besar seperti Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan kerana tinjauan mendapati permintaan terhadap keperluan PPR di kawasan berkenaan sangat tinggi bagi mengatasi masalah setinggan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan perabot di Sekolah Menengah (SM) St John dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Pengelola SM St John, Datuk Kimjus Duim dan Pengetua SM St John, John Seah Soo Lin.

Sementara itu, Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, faktor lokasi kurang strategik dan ketiadaan kemudahan infrastruktur asas dikenal pasti sebagai antara punca utama 57,000 unit rumah di seluruh negara belum terjual.

Katanya, sesetengah pemaju didapati tidak melakukan kaji selidik keperluan setempat dan tidak mengambil berat aspek menyeluruh sebelum melaksanakan projek perumahan.

"Kementerian akan menetapkan mekanisme khusus bagi pelaksanaan projek perumahan baru, termasuk memastikan lokasinya sesuai dan kemudahan asas seperti sekolah, masjid, landskap dan premis perniagaan didirikan di kawasan yang akan dimajukan.

"Faktor ini penting bagi menarik minat bakal pembeli yang mahukan pakej lengkap, sekali gus berupaya membantu perkembangan sektor pembinaan di negara ini," katanya.

Lajim berkata, pihaknya turut meneliti latar belakang kontraktor yang ditawar melaksanakan projek perumahan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mengelak kemungkinan berdepan masalah projek gagal disiapkan.

Katanya, kemampuan kontraktor terbabit akan dinilai berdasarkan pengalaman dan kualiti kerja terdahulu sebelum diluluskan.

Mengulas isu PPR tergendala di Kampong Kiansom, Inanam, Lajim berkata, Jabatan Perumahan Negara sudah menamatkan kontrak pemaju projek bernilai RM57 juta itu.

"Tender baru sudah dibuka dan kita harap projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh setahun.

"Setakat ini, ada 13 syarikat pemaju berminat membangunkannya dan kita menjangkakan tambahan peruntukan RM30 juta diperlukan bagi meneruskan projek itu," katanya.

0 comments: