Followers

Tuesday, July 7, 2009

75 kes baru jangkitan Influenza A


PELAJAR Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur membersihkan kelas, semalam selepas diarah tutup seminggu oleh Kementerian Kesihatan berikutan kes selesema babi.

Negara berada pada fasa kedua penularan tempatan

PUTRAJAYA: Sebanyak 75 kes baru Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 8 pagi semalam dengan 41 adalah kes import dan 34 jangkitan tempatan, menjadikan jumlah terkumpul 434 di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata 75 kes baru itu membabitkan 64 rakyat tempatan dan 11 warga asing termasuk empat warga Indonesia, Filipina (tiga), manakala masing-masing seorang Libya, Oman, Singapura dan Australia.

Beliau berkata, semua 41 pesakit kes import mempunyai sejarah melawat negara yang terjejas dengan H1N1 antaranya Indonesia, Australia, Filipina, Thailand, Singapura, United Kingdom, Brunei, Russia dan Oman, manakala 34 kes jangkitan tempatan pula membabitkan 33 warga tempatan dan seorang warga Filipina.

“Sembilan daripada 34 kes jangkitan tempatan itu ialah sebahagian 165 peserta yang menyertai Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) di Pulau Pinang dari 27 hingga 30 Jun lalu. Ia menjadikan jumlah keseluruhan peserta APPC warga Malaysia disahkan positif H1N1 sehingga ini (semalam) adalah 15 orang.

“Empat lagi pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Jalan Loke Yew, Cheras, Kuala Lumpur yang dikuarantin di rumah disahkan positif H1N1 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan tempatan sehingga kini 101 kes,” katanya kepada media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Datuk Dr Ramlee Rahmat dan Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Liow berkata, 79 peratus atau 343 daripada 434 pesakit H1N1, sudah pulih dan dibenarkan pulang, manakala baki 91 pesakit stabil dan menjalani rawatan di hospital.

Liow berkata, kementerian terus meningkatkan pengawasan dan pemantauan di semua pintu masuk negara sebagai langkah berjaga-jaga kerana Malaysia kini berada pada fasa kedua penularan tempatan.

“Saya ingatkan mereka yang dikuarantin di rumah supaya tidak ke tempat awam atau tumpuan ramai termasuk kelas tuisyen atau kelas agama bagi mengelak jangkitan,” katanya.

Mengenai situasi global, Liow berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan jumlah terkumpul kes H1N1 seluruh dunia meningkat kepada 91,457 kes termasuk 387 kematian di 126 negara.

Sementara itu di MELAKA, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol, berkata dua lagi individu disahkan positif H1N1 di negeri ini sehingga pagi semalam.

Mangsa terbaru ialah jurutera lelaki berusia 26 tahun yang pulang bercuti di di Bali, Indonesia pada Sabtu lalu dan seorang pengurus lelaki berusia 52 tahun, tiba dari Manila, Filipina sehari sebelum itu.

0 comments: