Followers

Tuesday, July 7, 2009

Malaysia mungkin didenda, tarik diri daripada AYG

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin didenda kerana menarik diri daripada menyertai Sukan Belia Asia (AYG) di Singapura yang berakhir hari ini walaupun atas alasan bimbang terhadap jangkitan Influenza A (H1N1).

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berkata ketika ini pihak penganjur belum memutuskan lagi sebarang tindakan terhadap Malaysia, satu-satunya negara daripada 40 negara Asia yang menyertai temasya itu, menarik diri sebelum kejohanan bermula.

"Mungkin penganjur akan mengenakan sedikit denda kerana mereka sudah menyediakan persiapan untuk semua negara termasuk Malaysia tetapi kontinjen negara menarik diri," katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Sieh berharap penganjur kejohanan tidak mengenakan denda tersebut berdasarkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Beliau sebelum itu mewakili MOM menerima dokumen penajaan pakaian sukan bagi kegunaan kontinjen negara ke Sukan Asia ke-16 yang akan berlangsung di Guangzhou, China pada 2010, daripada 361 degree (China) Co. Ltd, sebuah syarikat pengeluar pakaian sukan dari China.

Syarikat tersebut akan membekalkan 800 set pakaian sukan kepada kontinjen Malaysia ke Guangzhou.

Ketika ditanya jumlah sebenar perbelanjaan Malaysia bagi tujuan penyertaan di temasya AYG, Sieh berkata, jumlahnya melebihi RM100,000.

Difahamkan MOM dan Majlis Sukan Negara sudah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM120,00 untuk bayaran penginapan, peralatan dan pakaian sukan kontinjen negara ke temasya sukan tersebut.

Kontinjen negara yang majoriti terdiri daripada pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan sekolah lain terpaksa menarik diri selepas Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan melarang pelajar sekolah daripada menyertai sebarang kejohanan ke luar negara kerana bimbang dengan penularan wabak selesema babi. - Bernama

0 comments: