Followers

Friday, December 18, 2009

COP15 sekadar penuhi separuh harapan Malaysia: PM

COPENHAGEN: Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 (COP 15) yang berakhir tanpa sebarang perjanjian mengikat semalam sekadar memenuhi separuh daripada harapan negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

"Sehingga kini kita hanya sekadar berpuashati ia menjurus kepada komitmen lebih besar untuk bertindak tetapi tidak mencapai tahap yang kita percaya semua isu perubahan cuaca dapat ditangani, terutama dalam soal pembiayaan dan pemindahan teknologi," katanya kepada wartawan Malaysia di sini selepas menghadiri sesi pleno terakhir persidangan itu sebentar tadi.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, adalah antara pemimpin yang berucap.

Sehubungan itu, Najib berharap persidangan Copenhagen akan menjadi batu loncatan kepada satu lagi persidangan pada tahun depan di mana dapat dicapai persetujuan yang mengikat.

Katanya, apa yang boleh disifatkan kejayaan di Copenhagen ialah kehadiran ramai pemimpin dunia yang menunjukkan komitmen serius dan menjadikan perubahan iklim agenda utama dunia pada masa ini dan akan datang.

"Dari segi keberhasilannya saya lihat komitmen daripada negara sudah bertambah, maknanya hampir setiap negara menetapkan sasaran yang bertambah dari segi pengurangan pelepasan karbon.

"Namun, ada isu lain yang tak dapat diputuskan secara memuaskan, umpamanya dana yang dicadangkan AS$10 bilion untuk tiga tahun akan datang dan AS$100 biion setahun menjurus kepada 2020 pada hemat Malaysia dan pakar saintis PBB adalah tidak memadai.

"Seperti yang saya katakan semalam jumlahnya mesti lebih AS$800 bilion setahun kalau mereka nak capai sasaran hanya peningkatan 2 darjah Celsius, bukannya 1.5 darjah Celsius," katanya.

Perdana Menteri berkata, satu lagi isu yang tidak dapat dipersetujui ialah soal pemantauan dan pengesahan berhubung pemberian dana kepada negara membangun seperti yang ditekankan AS.

"Tetapi syarat itu ditentang habis-habisan oleh China. Maka saya nampak ada isu utama yang masih belum dapat diatasi...," katanya.

Mengenai ucapan Presiden AS itu pada persidangan kali ini, Najib berkata:

"Obama menambah sasaran untuk AS...ia lebih baik daripada apa yang berlaku berhubung Protokol Kyoto di mana mereka bukan peserta...namun beberapa syarat yang dinyatakan akan membuatkan rundingan masa depan agak sukar."

Dalam ucapannya, Obama antara lain menegaskan masa untuk berbincang sudah berlalu dan negara dunia perlu bertindak sekarang dengan apa yang ditawarkan di meja rundingan dan sebarang perjanjian yang dimeterai boleh dimantapkan dari masa ke semasa.

"Kita boleh mengadakan perjanjian sekarang dan memperhalusinya kemudian atau kita boleh memilih untuk menangguhnya. Kita akan menggunakan alasan lapuk bulan demi bulan, tahun demi tahun, dekad demi dekad, sehingga terlewat untuk berbuat apa-apa.

"Kami bersedia untuk memuktamadkannya hari ini. Adalah lebih baik untuk kita bertindak sekarang daripada berbincang," katanya.

0 comments: