JASIN: Sejumlah 39 kes baru Influenza A (H1N1) dilaporkan hari ini dan kesemuanya kes jangkitan tempatan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, 36 kes yang dilaporkan adalah kes kluster yang berlaku di pusat pengajian tinggi dan sekolah manakala tiga lagi kes-kes terpencil.
Jumlah kes terkumpul sehingga ini ialah 978 dan daripada jumlah itu hanya 20 pesakit yang masih menerima rawatan di hospital akibat wabak itu.
"Tiada kes kematian selepas seorang warganegara Indonesia yang dijangkiti wabak itu mati Selasa lalu kerana bukan berkait secara langsung H1N1 sebaliknya kerana degupan jantung tidak terkawal," katanya selepas merasmikan Klinik Kesihatan Merlimau di sini, hari ini.
Beliau berkata, di Melaka, sebanyak tujuh pusat pengajian tinggi ditutup selepas 70 pelajar dijangkiti wabak itu dan sembilan daripada mereka kini dirawat di Hospital Melaka.
Institusi Kemahiran Mara (IKM) Jasin adalah pusat pengajian tinggi terbaru yang ditutup selama seminggu bermula hari ini, selepas enam institusi ditutup semalam.
"Kita sudah mengambil langkah berjaga-jaga terutama bagi kes kluster yang membabitkan institusi pengajian dan sekolah-sekolah dan juga kes jangkitan tempatan," katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment