Followers

Friday, July 24, 2009

Sabah&Sarawak: 400 keluarga setinggan Kampung Kunak 3 pindah

KUNAK: Kira-kira 400 keluarga setinggan di Kampung Kunak 3 dan Kampung Sungai Atas di sini, dicadang berpindah ke kawasan baru berhampiran Kampung Kunak 3 bagi menyediakan kehidupan lebih sempurna, dalam tempoh terdekat.

Ia kerana penduduk terbabit tidak boleh dibiar menghuni kediaman setinggan di kedua-dua kampung berkenaan berikutan kesesakan menghalang mereka daripada menikmati kehidupan sempurna.

Untuk tujuan itu, Unit Pemimpin Kemajuan Masyarakat (UPKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak akan menganjurkan gotong-royong perdana pada Ogos ini bagi membolehkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) negeri menentukan lot untuk dibahagikan kepada penghuni terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak, Nilwan Kabang, berkata seramai 200 penghuni setinggan dari Kampung Kunak 3 dan 200 dari Kampung Sungai Atas, dicadang dipindahkan ke kawasan berkenaan.

"Mereka dicadangkan sebagai penerima Projek Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kerana berpendapatan bawah paras kemiskinan.

"Ketika ini, mereka hidup dalam rumah yang dibina terlalu rapat antara satu dengan lain dan keadaan itu menyebabkan sampah-sarap bertaburan di merata tempat," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Tapak gotong-royong perdana berkenaan sudah dilawati Pemimpin Kemajuan Masyarakat (PKR), Halid Haron, yang ditemani Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kunak 3, Baharun Kiang.

Nilwan berkata, hanya selepas gotong-royong berkenaan dilaksanakan, JTU negeri mampu menentukan lot untuk dibahagi kepada penghuni setinggan terbabit.

Katanya, jumlah keluasan setiap penghuni belum dapat dipastikan.

Bagaimanapun, katanya, proses pemindahan itu tidak membabitkan pendatang tanpa izin yang dikesan turut menjadi penghuni setinggan di kedua-dua kampung berkenaan.

Sementara itu, Halid berkata, gotong-royong berkenaan akan membabitkan semua penghuni setinggan dan penduduk kampung yang mempunyai lot tanah bergeran, bertujuan menanam sifat menyayangi penempatan berbanding jika ia dilaksanakan agensi kerajaan.

"Dengan bergotong-royong, silaturahim anggota masyarakat dapat diperkukuh dan secara tidak langsung, mereka lebih menghargai penempatan baru ini," katanya.

0 comments: