Followers

Friday, July 24, 2009

Sabah&Sarawak: 'Tiada suspek bom di Jakarta menyelinap'

Usaha perhebat kawalan pintu masuk utama Sabah, berjaya kawal keadaan

KOTA KINABALU: Polis Sabah mengesahkan tiada pihak mendalangi serangan bom dua hotel di Jakarta, Jumaat lalu, menyelinap masuk ke negeri ini sama ada melalui laluan laut atau udara.

Ia adalah hasil langkah mengetatkan kawalan di pintu masuk utama melalui udara di bandar raya ini, selain pintu masuk laut di Tawau dan Sandakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata gerakan memperhebatkan gerakan mengawal pintu masuk negeri dilaksanakan serta-merta hingga peringkat daerah sejurus menerima arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Kita turut mengarahkan Ketua Polis Daerah mengarahkan semua jabatan sentiasa lebih peka terhadap pihak dicurigai.

"Kawalan di Tawau dan Sandakan yang mempunyai pintu masuk menerusi laut sudah ditingkatkan. Alhamdulillah, setakat ini belum ada sesiapa yang disyaki terbabit dalam serangan bom di Jakarta berjaya menyelinap masuk ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Kursus Pengurusan Perolehan Kerajaan dan Kewangan, di sini, semalam.

Kursus dua hari dihadiri semua ketua jabatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ketua Polis Daerah itu bertujuan meningkatkan pengurusan di jabatan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Noor Rashid berkata, berdasarkan lokasi Sabah yang berjiran dengan Indonesia dan selatan Filipina, langkah memperketat kawalan pintu masuk bukan setakat untuk menyekat pihak terbabit dalam keganasan menyelinap masuk, malah memastikan keselamatan masyarakat tempatan terjamin.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dilaporkan berkata, setakat ini tiada bukti pakar bahan letupan, Nordin Mat Top menyelinap masuk ke Malaysia.

Noor Rashid berkata, polis memperhebat gerakan mengesan dan menahan pendatang tanpa izin yang menjadikan perairan di pantai timur Sabah seperti Tawau dan Sandakan sebagai lokasi pendaratan.

Ia berikutan kejadian lapan rakyat Indonesia lemas apabila bot dinaiki mereka berlanggar dengan bot laju di di kuala Sungai Simindalan, dekat Tawau malam 13 Julai lalu.

Pendatang tanpa izin itu dipercayai dalam perjalanan dari Kalabakan, dekat Tawau ke Pulau Nunukan, Kalimantan.

0 comments: