Followers

Friday, July 24, 2009

4 sekolah, 1 politeknik dijangkiti H1N1

JASIN: Empat sekolah termasuk masing-masing satu sekolah menengah di Sabah dan Sarawak serta sebuah politkenik, adalah antara lima lagi institusi pendidikan di negara ini yang disahkan dijangkiti wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) sehingga hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah (SM) Sains Lahad Datu di Sabah; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pati Ambon di Sarawak; Mahat Tahfiz Kuantan di Pahang; Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari di Selangor dan Politeknik Kota Melaka di Melaka.

Katanya, kes tertinggi dicatatkan di SK Subang Bestari iaitu membabitkan tujuh kes, diikuti Mahat Tahfiz Kuantan iaitu empat kes, SMK Pati Ambon (tiga) dan masing-masing dua di SM Sains Lahad Datu dan Politeknik Kota Melaka.

"Sebanyak 16 kes yang dicatatkan di lima institusi pendidikan terbabit adalah antara 39 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 8 pagi tadi.

"Kes baru turut dicatatkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak, dan di UiTM Dungun, Terengganu, iaitu masing-masing sembilan kes.

"Daripada 39 kes yang dilaporkan itu, 36 kes membabitkan masalah kluster influenza-like-illness (ILI) manakala baki selebihnya individu. Semuanya adalah kes jangkitan tempatan.

"Ini menjadikan bilangan keseluruhan kes H1N1 direkodkan di seluruh negara sehingga kini adalah sebanyak 978," katanya selepas merasmikan Klinik Kesihatan Merlimau, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Liow berkata sepanjang tempoh berkenaan, hanya 20 individu disahkan masih menerima rawatan lanjut di hospital, manakala 14 lagi meneruskan rawatan sebagai pesakit luar dan 954 pula disahkan sudah sembuh dari wabak berkenaan.

Beliau turut melahirkan terkejut apabila Melaka sehingga kini sudah mencatatkan 70 kes wabak berkenaan, walaupun negeri itu agak kecil.

"Saya agak terkejut selepas meneliti rekod Jabatan Kesihatan, mendapati negeri ini sudah pun mencatatkan sebanyak 70 kes wabak berkenaan. Saya dimaklumkan pada masa kini, sebanyak sembilan pesakit sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.

"Selain itu, enam institusi pendidikan turut ditutup sementara akibat penularan wabak berkenaan seperti di UiTM Kampus Melaka di Lendu, Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka (IPPMM), Kolej Yayasan Melaka (KYM), Kolej Profesional Mara, Nilam Nursing Health (Nilam) dan terbaru Politeknik Kota Melaka.

"Saya dimaklumkan juga Institut Kemahiran Mara di Jasin juga sedang disiasat dan kemungkinan akan ditutup selepas ini. "Sehingga hari ini, rekod menunjukkan sebanyak 19 kes H1N1 berlaku di UiTM Melaka, IPPMM (lima), KYM (empat) KPM (empat), Nilam (satu)," katanya.

0 comments: