Followers

Friday, July 24, 2009

Sabah&Sarawak: 915 rumah setinggan diroboh enam bulan

Penghuni turut buat sambungan elektrik haram

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meroboh 915 rumah setinggan dan struktur haram di sekitar ibu negeri sepanjang enam bulan pertama tahun ini, meningkat 37 peratus berbanding 668 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

Pegawai Perhubungan Awam DBKK, Syron Tunggolou, berkata daripada jumlah itu, kira-kira 98 peratus adalah kediaman setinggan, manakala selebihnya iaitu 18 unit adalah struktur haram yang kebanyakannya membabitkan penyambungan dalam bangunan komersial tidak diluluskan DBKK.

Katanya, sebanyak 686 rumah setinggan diroboh penguat kuasa DBKK menerusi beberapa operasi sekitar ibu negeri sejak awal tahun ini, manakala 211 rumah dikenal pasti diroboh sendiri pemiliknya selepas diberi notis.

"Peningkatan bilangan rumah setinggan yang dirobohkan sejak awal tahun ini antara lain hasil tindakan proaktif DBKK membasmi masalah setinggan di ibu negeri.

"Paling banyak diroboh ialah April lalu membabitkan 363 rumah, diikuti pada Mei (297), Mac (100), Januari (74), Februari (49) dan bulan lalu sebanyak 32 unit," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

DBKK menjalankan operasi perobohan setinggan setiap bulan dengan mensasarkan kawasan setinggan utama seperti di Likas dan beberapa kawasan kecil berhampiran pusat bandar raya serta pinggir bandar.

Syron berkata, operasi itu dilaksanakan berterusan sejajar dengan usaha DBKK meningkatkan imej ibu negeri ke arah sebuah bandar raya bersih, selamat dan bebas daripada masalah setinggan.

"Operasi ini dilaksanakan kakitangan Unit Setinggan dan Kerja Khas, Jabatan Penguat Kuasa DBKK dibantu anggota Angkatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela)," katanya.

Kebelakangan ini, isu setinggan turut mendapat perhatian Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berikutan pembabitan sebahagian besar penghuni kawasan itu dalam kegiatan penyambungan elektrik secara haram.

Kegiatan itu dipercayai didalangi individu yang mahir membuat penyambungan dan pendawaian elektrik dengan menerima bayaran tertentu daripada penghuni setinggan sebagai upah melaksanakan kerja berkenaan.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat SESB, Chenderamata Sinteh, sebelum ini berkata SESB memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengatasi masalah setinggan sebagai langkah utama membasmi kegiatan penyambungan elektrik secara haram.

"Kalau setinggan berjaya dihapuskan, kami yakin kegiatan mencuri elektrik dengan membuat penyambungan haram dari sumber elektrik SESB tidak lagi berlaku.

"Sebagai contoh, kegiatan penyambungan haram oleh penghuni setinggan di Likas berjaya diatasi selepas kawasan berkenaan dirobohkan DBKK baru-baru ini," katanya.

Katanya, walaupun SESB melaksanakan operasi pemotongan bagi menghentikan kegiatan itu, ia tidak menjamin menghapuskannya sama sekali jika masalah setinggan masih berleluasa.

0 comments: