Followers

Friday, October 15, 2010

Elaun pemimpin masyarakat dinaikkan kepada RM800 sebulan

KUALA LUMPUR: Elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru akan dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini, bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi memastikan elaun itu dinikmati oleh semua Ketua Kampung, ia akan turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan.
"Kerajaan akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa daripada RM30 kepada RM50," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen, di sini hari ini.
Najib berkata elaun bulanan Imam akan dinaikkan daripada RM450 kepada RM750 sebulan, manakala imbuhan bulanan guru Kemahiran Asas Fardhu Ain (KAFA) dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM500 pada masa ini.

Ia akan berkuatkuasa Januari tahun depan, katanya.

Najib berkata sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan Pribumi.

Beliau berkata ia termasuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli.
"Selaras dengan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan disusun semula dan diperkukuhkan dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli," katanya. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget