Followers

Friday, October 15, 2010

RM450 juta bil pembetungan belum dijelaskan: IWK

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), syarikat pembetungan nasional milik Menteri Kewangan DiPerbadankan, menyeru kesedaran pengguna untuk menjelaskan bil pembetungan tertunggak yang kini mencecah RM450 juta bagi membantu syarikat melaksanakan perkhidmatan dengan lebih baik.
"Kerajaan telah memberi subsidi yang begitu tinggi kepada rakyat dan kesedaran rakyat amat diperlukan bagi menolong IWK menjalankan operasi dengan lebih lancar," kata Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Ir. Abdul Kadir Mohd Din.
Katanya, kos operasi yang semakin tinggi setiap tahun dan IWK tidak mampu menjalankan tugas mereka dengan hanya bersandarkan kepada bayaran bil yang dikenakan kepada pengguna.
"Walaupun caj perkhidmatan yang dikenakan oleh IWK kepada pengguna amatlah minimum iaitu 27 sen sehari atau RM8 sebulan dan bersamaan RM96 sebulan, tetapi masih ramai yang gagal untuk menjelaskan bil tertunggak yang telah terkumpul dari 1997," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah rizab sistem pembetungan awam di antara IWK dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di sini hari ini.

Oleh yang demikian, katanya, IWK amat mengharapkan agar pengguna yang menikmati kemudahan sistem pembentungan dapat menjelaskan caj perkhidmatan demi memelihara kebersihan alam sekitar, melindung sumber air dan melindungi kesihatan awam.

Bagaimanapun katanya, kutipan caj pembetungan telah meningkat sebanyak 80 peratus berbanding 30 peratus pada 1994 ekoran pelbagai kempen kesedaran yang dijalankan oleh syarikat.

Setakat ini pendapatan IWK hanyalah daripada kutipan bil pembetungan dan sumber ini tidak cukup bagi menampung kos-kos operasi yang makin meningkat, katanya. Ditanya berapakah caj perkhidmatan yang sewajarnya dikenakan oleh IWK kepada pengguna, Abdul Kadir berkata untuk "break-even" IWK perlu mengenakan caj sebanyak RM18 bagi setiap rumah.

Abdul Kadir berkata IWK juga sedang berusaha untuk mengurangkan subsidi yang diberikan oleh kerajaan dan sedang berbincang untuk menaikkan caj perkhidmatan yang dikenakan.

"Sehingga September 2010, IWK mengendali dan menyelenggarakan 6,358 loji olahan kumbahan awam termasuk stesen pam dan lebih 14,213km rangkaian saliran paip pembetungan," katanya.

Sementara itu, Perjanjian Pajakan yang ditandatangani pada hari ini, katanya adalah untuk kumpulan pertama melibatkan sejumlah 1,384 tapak sistem pembetungan awam di semua negeri merupakan usaha IWK ke arah memastikan perkhidmatan pembetungan yang lebih efisien.

Pajakan tanah adalah untuk tempoh sehingga 31 Disember, 2034 dan dijalankan secara berperingkat.

Katanya lagi, sejumlah 80 buah tapak rizab sistem pembetungan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedang di dalam proses mendapatkan kebenaran Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi membolehkan ianya dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk pajakan kepada IWK.

Perjanjian turut ditandatangani Datuk Abdul Halim Ain, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, juga Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget