Followers

Friday, October 15, 2010

Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuh untuk tetapkan upah pekerja

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah golongan pekerja di negara ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, majlis berkenaan akan diwakili oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi kerajaan, akademia, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
Beliau berkata, sekretariat bagi majlis berkenaan adalah Kementerian Sumber Manusia.
"Selaras dengan peningkatan produktiviti, golongan pekerja seharusnya mendapat upah dan ganjaran yang lebih tinggi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Najib berkata, kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh majlis berkenaan.

Beliau berkata, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan berbanding RM610 sebulan pada 1 Julai lalu dan dengan kenaikan itu, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285 termasuk elaun tetap.

Bagi pengawal keselamatan pula, beliau berkata kerajaan akan menguatkuasa gaji pokok minimum kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 dan RM400 pada masa ini.
"Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan termasuk elaun adalah melebihi RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai Januari tahun depan," katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan akan meneruskan langkah pengurangan bilangan pekerja asing dengan menaikkan levi secara berperingkat mengikut sektor dan pada masa sama, majikan akan diwajibkan memperoleh insurans kesihatan bagi pengambilan pekerja asing mereka.

Najib berkata, kerajaan juga akan mewujudkan Program Latihan 1Malaysia yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Beliau berkata, program latihan itu mempunyai tiga komponen iaitu sebanyak RM200 juta untuk menjalankan latihan sambilan di sebelah malam dan hujung minggu di pusat latihan terpilih di seluruh negara.

"Ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara, Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian dengan kemudahan sedia ada," katanya.

Najib berkata, antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam ialah Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Inggeris, Arab dan kelas muzik manakala di hujung minggu, kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk memasak, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan.

Katanya, program berkenaan juga mencakupi peruntukan RM200 juta daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka.

Selain itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget