Followers

Sunday, October 3, 2010

PM akan lancar rundingan FTA EU-Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadual melancarkan perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Eropah-Malaysia di luar acara Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) minggu depan di Brussels.

"Kami berharap dapat melancarkan dengan rasminya perundingan itu semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke Brussels bersempena dengan ASEM yang dihoskan oleh Belgium," kata Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Vincent Piket.
Najib dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan (ASEM) yang berlangsung selama dua hari di Brussels, bermula 4 Oktober.
"Sekiranya perjanjian FTA dengan Malaysia berjaya, Malaysia akan mendapat akses keutamaan ke EU yang pada masa ini adalah pasaran terbesar dunia," katanya.

Dengan sejumlah setengah bilion pengguna di negara anggota EU, Piket berkata ia akan menjadi destinasi menarik untuk eksport Malaysia.

Beliau berkata, FTA itu akan membuka laluan untuk hubungan kestabilan jangka panjang Malaysia-EU.

Menurut seorang penganalisis, andaikata FTA ini berjaya, ahli perniagaan Malaysia akan mendapat lebih manfaat dalam jangka panjang terutamanya di celah-celah kelembapan ekonomi.
Penganalisis itu berkata, pemangkin itu mungkin datang daripada potensi bagi FTA membina semula kekayaan yang telah hilang semasa kelembapan ekonomi baru-baru ini.

Seiring dengan usaha Malaysia mencapai ke arah status negara maju, Piket juga berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia memulakan perundingan FTA bagi melengkapkan negara mencapai matlamat-matlamat Model Baru Ekonomi (NEM).

Beliau berkata, FTA adalah sebahagian daripada NEM dan penekanannya ialah ke atas ekonomi mesra perniagaan dan meningkatkan kepentingan sektor swasta dalam keluaran dalam negara kasar.

"Semua ini ialah untuk menarik perdagangan, pelaburan berkualiti, modal, kepakaran dan pengetahuan dan FTA dengan EU sudah pasti akan menyumbang kepada objektif ini," katanya sambil menambah perdagangan dan pelaburan amat penting untuk pemulihan global dan pertumbuhan ekonomi.

Piket berkata, dengan perundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Pusingan Doha menemui jalan buntu pada masa ini, Malaysia dan 27 anggota EU seharusnya mengembangkan lagi perdagangan dua hala.

Malaysia ialah rakan perdagangan kedua terbesar EU di ASEAN selepas Singapura, mendahului negara lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Sementara EU pula ialah rakan dagang keempat terbesar dunia dan sumber kedua terbesar pelaburan asing langsung.

Menegaskan Malaysia ialah rakan dagang penting kepada EU, Piket berkata kira-kira 2,000 syarikat Eropah pada masa ini telah beroperasi di Malaysia. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget