Followers

Tuesday, September 14, 2010

Muhyiddin kutuk pembunuhan kejam Sosilawati, tiga individu lain

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengutuk perbuatan pembunuhan kejam membabitkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Terkejut dengan kes pembunuhan empat individu itu di bulan Syawal yang mulia ini, Muhyiddin dalam satu kenyataannya hari ini berkata: "Tiada insan yang berfikiran waras akan bertindak sedemikian".
Muhyiddin turut menyampaikan salam takziah kepada anggota keluarga Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, Ahmad Kamil Karim dan Noorhisham Mohammad berikutan kehilangan orang tersayang dan berharap kaum keluarga terbabit tabah menghadapi tragedi itu.
"Saya berdoa roh mereka ditempatkan di kalangan para solihin. InsyaAllah. Amin Ya Rabbal Amin," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Kuala Langat.

Muhyiddin berkeyakinan pihak berkuasa akan memastikan pembunuh terbabit akan dihadapkan ke muka pengadilan.
"Saya meminta kerjasama semua untuk bertenang dan menghulurkan bantuan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut kepada pihak berkuasa supaya ia dapat diselesaikan dengan segera," katanya. - Bernama

0 comments: