Followers

Tuesday, September 14, 2010

Jangan jadikan kes pembunuhan kejam Sosilawati isu perkauman, politik

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, meminta orang ramai tidak mempolitikkan dan menjadikan kes pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu sebagai satu isu perkauman.
Katanya, kes tragik itu mesti ditangani dengan rasional dan waras tanpa pengaruh negatif yang boleh mengundang perkara tidak diingini berlaku.
"Jika semua isu dalam negara ini kita lihat daripada segi perkauman, kita hanya akan mengundang bahaya yang amat sangat kepada negara. "Kita tidak boleh biar sentimen seperti ini (perkauman) berlaku serta berlanjutan," katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini, hari ini.

Shahrizat, yang juga Ketua Wanita UMNO, berkata: "Jangan bawa politik dalam semua aspek kehidupan kerana kita tidak mahu hidup kita hanya berputar dan berlandaskan kepada kepentingan politik semata-mata."

Shahrizat berharap semua suspek yang didapati bersalah dalam kes berkenaan dijatuhi hukuman maksimum dan setimpal dengan jenayah dilakukan.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia untuk tidak terlalu berserah kepada pihak berkuasa semata-mata tetapi perlu bersama-sama membanteras perlakuan jenayah seperti ini.
"Kita tidak mahu budaya keganasan atau jenayah diterima begitu sahaja dan membiarkan ia sebati di dalam masyarakat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC, T Mohan, menganggap mereka yang melakukan jenayah kejam itu lebih zalim daripada binatang.

"Kami terkejut ada rakyat Malaysia yang sanggup melakukan kekejaman melampau, pembunuhan ngeri sebegini. Ini bukan budaya kita dan ini sangat mengganggu fikiran," katanya dalam satu kenyataan.

Mohan berharap polis akan menjalankan siasatan terperinci dan menghadapkan para penjenayah berkenaan ke muka pengadilan dengan segera bagi memastikan keadilan kepada mangsa. - Bernama

0 comments: