Followers

Tuesday, September 14, 2010

Pakistan, Malaysia tubuh jawatankuasa bersama kaji semula perjanjian ekonomi

KUALA LUMPUR: Pakistan dan Malaysia bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama bagi mengkaji semula Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-Pakistan (MPCEPA).
Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di sini berkata, perjanjian berkenaan yang dimeterai pada November 2007, bertujuan untuk terus meningkatkan kerjasama ekonomi, memudahkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Pesuruhjaya Tingginya ke Malaysia, Masood Khalid, berkata penubuhan jawatankuasa bersama berkenaan adalah langkah penting untuk menggalakkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
"Ia juga akan mengkaji semula pelaksanaan dan operasi perjanjian, menimbang dan mencadangkan sebarang pindaan dalam perjanjian perdagangan bebas, memudahkan pengelakkan dan penyelesaian pertikaian yang timbul daripada perjanjian, mengawal selia dan menyelaras kerja jawatankuasa kecil serta mengguna pakai keputusan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, pelbagai jawatankuasa kecil mengenai perdagangan dalam barangan dan perkhidmatan, prosedur kastam, pelaburan dan kerjasama ekonomi juga akan diwujudkan untuk mengemukakan cadangan kepada jawatankuasa bersama itu untuk penyesuaian akhir.

"Mesyuarat jawatankuasa bersama itu akan tentunya membantu dalam menyelesaikan beberapa isu.

"Ia juga akan memberi laluan kepada kerjasama ekonomi yang lebih luas antara kedua-dua negara dalam sebarang bidang dalam skop perjanjian yang dipersetujui bersama," kata beliau. - Bernama

0 comments: