Followers

Tuesday, July 6, 2010

Rumus fakta sejarah hubungan Melaka-China: Tun Khalil

MELAKA: Sejarawan dan tokoh akademik diminta membuat ketetapan berasaskan fakta sejarah yang tepat mengenai sejarah silam perhubungan antara Kesultanan Melaka dan Empayar China yang bermula pada awal kurun ke-15.
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, berkata mereka perlu merumuskan tafsiran sejarah yang tepat mengenai hubungan Melaka dan Empayar China bagi memastikan perbezaan antara fakta atau sekadar rekaan semata-mata, bagi sesetengah perkara.
"Sejarah telah mencatatkan betapa Kerajaan Kesultanan Melaka telah mula menjalin hubungan dengan Kerajaan China semasa Dinasti Ming kira-kira 605 tahun lalu (1405) dan sejarah juga mencatatkan betapa Melaka pada masa itu kerapkali dikunjungi Laksamana Cheng Ho," katanya ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Cheng Ho Asia-Afrika di sini hari ini.
Seminar tiga hari yang dihadiri lebih 300 peserta itu adalah anjuran bersama Perbadanan Muzium Melaka, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Jabatan Muzium Malaysia, Persatuan Antarabangsa Cheng Ho dan Muzium Budaya Cheng Ho.

Mohd Khalil juga mengajukan pertanyaan kepada peserta seminar sama ada armada Cheng Ho benar-benar singgah di pelabuhan Melaka ketika itu kerana Melaka baru sahaja dibuka.

Oleh itu, beliau berharap melalui seminar itu, ia dapat mengumpul seberapa banyak fakta mengenai sejarah hubungan Kesultanan Melaka dan Empayar China.

Cheng Ho telah menjelajah hampir 30 buah negara dengan 200 kapal bersama 28,000 kelasi dan pelayarannya itu memberi kesan yang mendalam kepada sejarah maritim serta hubungan dua hala dan pertukaran kebudayaan antara China dengan negara yang beliau lawati termasuk Melaka. - BERNAMA

0 comments: