Followers

Tuesday, July 6, 2010

Sabah & Sarawak: 20 sen sebatang

Penjual rokok murah kuasai kaki lima pekan Keningau

KENINGAU: "Dua puluh sen sebatang. Siapa cepat dia dapat, kalau lambat jangan menyesal. Murah saja bos!"

Itulah ayat yang kerap dilaung penjual rokok murah dipercayai diseludup kepada orang ramai yang lalu lalang di kaki lima kedai pekan ini tanpa mengira tua atau muda, kanak-kanak atau dewasa, lelaki atau wanita.
Berdasarkan pemerhatian Berita Harian, tawaran itu kerap memikat golongan belia dan dalam sekelip mata, wang dan rokok bertukar tangan.
Lokasi yang kerap menjadi pilihan penjaja rokok – kebanyakannya remaja itu adalah lorong berhampiran tapak pasar malam, kaki lima premis menjual makanan, laluan ke pasar raya dan perhentian bas.

Ada juga bertindak lebih berani dengan menghampiri pelanggan yang menikmati juadah di restoran.

Keadaan itu tidak disenangi orang ramai kerana bau badan penjual rokok jalanan itu serta-merta boleh mematikan selera, selain dianggap kurang sopan di kalangan mereka yang membawa anak kecil bersama.

Penjual rokok murah didapati beroperasi mulai awal pagi hingga larut malam kerana ada yang melebarkan kawasan jualan hingga ke pusat hiburan.
Seorang pengunjung, Rashid Mahadi, 45, berkata kegiatan berkenaan perlu dibanteras oleh pihak berkuasa termasuk Majlis Daerah Keningau (MDK) kerana dilihat semakin membimbangkan.

"Penjualan rokok seperti itu akan menyebabkan remaja terpengaruh untuk merokok kerana harganya murah berbanding di kedai.

"Anggota penguatkuasa MDK ada buat operasi mengesan kumpulan ini tetapi penjual rokok murah terus berleluasa seolah-oleh mahu mencabar undang-undang," katanya.

Penduduk tempatan, Rayner Tangkang, 23, berkata segelintir pelajar memakai seragam sekolah dikesan tidak malu membeli rokok 20 sen dan merokok secara terbuka.

"Kita mesti melihat tindakan penjual rokok jalanan ini sebagai ancaman kepada masyarakat. Hari ini rokok, esok lusa entah apa pula boleh berlaku," katanya.

Seorang pengusaha restoran yang enggan namanya disiarkan, mengakui ada pelanggan cenderung membeli rokok dari penjaja jalanan berbanding yang dijual secara sah.

"Saya mematuhi larangan penjualan rokok kepada pelajar dan kanak-kanak tetapi penjaja jalanan mana fikir itu semua. Mereka cuma tahu rokok mesti habis dijual dan tidak mengira siapa yang menjadi pelanggan.

"Difahamkan, ada penjaja jalanan turut menjual rokok secara borong kepada pelanggan secara tertutup dengan menggunakan plastik hitam sebagai taktik dikesan pihak berkuasa.

"Kita harap masalah ini dapat ditangani segera. Ini bukan soal siapa untung atau siapa rugi tetapi lebih kepada pematuhan undang-undang, selain mengurangkan amalan merokok terutama di kalangan remaja dan belia," katanya.

0 comments: