Followers

Tuesday, June 15, 2010

Layanan adil untuk semua negeri: Muhyiddin

GEORGETOWN: Kerajaan akan terus memberi layanan adil dan saksama kepada semua negeri di Malaysia sama ada terletak di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kerajaan pusat SUDAH memberi peruntukan yang adil kepada semua negeri menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Khamis lalu.
"Kita sebagai rakyat Malaysia harus mempunyai tempat serta kedudukan, dan seharusnya diberi layanan adil dan saksama untuk sama-sama maju dalam arus perdana pembangunan dalam negara kita.
"Kerajaan pusat tidak pernah menganiaya mana-mana negeri, walaupun negeri itu diperintah oleh pembangkang, dan kalau nak kata kerajaan pusat meminggirkan negeri pembangkang, itu tidak benar," katanya selepas merasmikan Persidangan Pelajar Antarabangsa 2010 anjuran Sekolah Perempuan St George di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan bahawa sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang tidak mendapat peruntukan setimpal dalam RMKe-10.

Beliau berkata, sebagai contoh, untuk bersikap adil kepada semua, kerajaan pusat mengumumkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi memastikan semua negeri mendapat faedah.

"Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang terkenal dalam industri pelancongan, dan secara langsung, ianya akan mendapat faedah daripada NKEA," katanya.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, negeri itu juga bakal mendapat faedah menerusi aktiviti yang digalakkan kerajaan dalam NKEA terutama sektor pembuatan dan pelancongan.

"Negeri ini kekal maju sehingga sekarang bukan disebabkan oleh apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri sekarang, tetapi kerana apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dulu," katanya.

Beliau juga menasihatkan pemimpin pembangkang supaya berhenti mempolitikkan agenda penting pembangunan negara.

"Dakwaan mereka ini seolah-olah menunjukkan kerajaan pusat menganiaya orang Pulau Pinang dan negeri ini telah terkeluar daripada radar pembangunan negara, itu tidak betul," kata Muhyiddin.

Katanya, beliau amat yakin penduduk Pulau Pinang tidak akan terpedaya dengan tipu helah pemimpin pembangkang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, terpulang kepada Perdana Menteri bila pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan diadakan.

"Sebagai ketua kerajaan pusat, Perdana Menteri mempunyai kuasa dan hak mutlak untuk menentukan bila masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum," katanya.

Beliau diminta mengulas pendapat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengadakan PRU13 kerana sokongan terhadap Najib telah meningkat. - Bernama

0 comments: