Followers

Tuesday, June 15, 2010

Usul Gaza: OIC akan bekerjasama dengan Malaysia

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksanakan usul yang diluluskan di Parlimen minggu lalu, mengutuk serangan Israel terhadap kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Freedom Flotilla.
Setiausaha Agung OIC, Prof Ekmeleddin Ihsanoglu, berkata usul itu sangat penting kerana ia perlu untuk menunjukkan kepada dunia mengenai komitmen negara Islam besar dunia mengenai perkara ini.
"Kita di OIC bekerja selari dan menghargai kenyataan ini (usul) dan kita akan bekerjasama dengan Malaysia untuk pelaksanaan keputusan ini," katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Sains Politik oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dekat sini hari ini.
Ijazah Kehormat itu disampaikan oleh Presiden UIAM, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, yang juga Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Ihsanoglu berkata, Malaysia mempunyai tempat dan peranan khas dalam sejarah OIC dan juga kepada perkembangan terkini pertubuhan yang mempunyai 57 negara anggota dan beribu pejabat di Jeddah, Arab Saudi.

"Dan sebab itu suara negara menerusi Parlimen dan resolusi kuat ini...idea dan cadangan dalam resolusi itu sangat penting," katanya.

Usul 15 perkara yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 7 Jun lalu, menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan rejim zionis di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, yang menyerang Mavi Marmara di perairan antarabangsa pada 31 Mei lalu.
Sambil memberikan sokongan terhadap gesaan masyarakat antarabangsa bagi satu siasatan bebas dan bertanggungjawab terhadap serangan itu, Malaysia juga menyeru negara yang sependapat untuk membawa resolusi itu ke Majlis Keselamatan itu bagi merujuk rejim zionis ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ia juga mencadangkan negara sependapat untuk mengemukakan resolusi ini kepada Perhimpunan Agung PBB bagi mendapatkan pandangan nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ketika menjawab satu soalan, Ihsanoglu berkata Malaysia telah memberikan sumbangan besar kepada OIC dan antara negara utama dalam penubuhan OIC pada September 1969.

Beliau juga berkata, OIC sangat berjaya semasa Malaysia menjadi pengerusi pertubuhan itu dari 2003 hingga 2008.

Setiausaha Agung OIC itu juga berharap media Malaysia akan menyediakan lebih banyak ruang terhadap aktiviti dan berita OIC.

Beliau berkata, OIC boleh mencapai lebih banyak kejayaan jika ia menerima lebih banyak sokongan pandangan politik dan awam untuk projek dan programnya.

Mengenai penganugerahan Ijazah Kehormat itu, Ihsanoglu berkata beliau merasa terharu dan bangga dengan ijazah tersebut atas khidmatnya kepada umat Muslim.

"Saya telah menerima banyak doktor kehormat daripada pelbagai universiti...tetapi ini pertama kali saya terima untuk ummah daripada universiti yang berprestij ini," katanya. - BERNAMA

0 comments: