Followers

Tuesday, June 15, 2010

Krisis ekonomi Greece tidak beri kesan kepada negara: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata krisis ekonomi yang melanda Greece tidak memberi kesan yang ketara kepada negara ini berikutan eksport Malaysia ke negara berkenaan hanya 0.1 peratus daripada jumlah eksport tahun lalu.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata kedudukan kewangan negara kekal kukuh dan mantap disebabkan usaha kerajaan yang berterusan dalam mengekalkan hutang negara pada paras yang terkawal.
"Di samping itu, negara mempunyai peraturan yang mencukupi bagi memastikan tahap hutang kekal mapan dan mampu membuat bayaran khidmat hutang," katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Lim meminta Perdana Menteri menyatakan kesan krisis ekonomi yang berlaku di Greece serta langkah pencegahan yang bakal diambil kerajaan bagi membolehkan negara berdepan dengan krisis sedemikian.

Beliau berkata, peraturan ini termasuk had maksimum 55 peratus nisbah hutang domestik kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) manakala jumlah pinjaman luar negeri oleh kerajaan Pusat dihadkan kepada RM35 bilion.

Najib berkata, sehubungan itu, peraturan berkenaan telah dapat meminimumkan risiko hutang luar negeri dan domestik yang berlebihan.

"Pada masa ini, 96 peratus negara adalah dibiayai melalui sumber tempatan dan oleh itu, risiko pertukaran mata wang asing adalah minimum. Sehingga 31 Mei tahun ini, rizab antarabangsa negara berjumlah RM312.3 bilion (AS$95.5 bilion), mampu untuk menampung 4.4 kali hutang luar negeri jangka pendek," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan perbelanjaan yang dibuat adalah berhemat, berkualiti dan efisien termasuk usaha melaksanakan sistem tender terbuka dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang tidak begitu kritikal.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang berusaha memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menambah baik pentadbiran cukai untuk meningkatkan hasil kerajaan.

"Dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh, pengurusan kewangan terus berhemat serta inisiatif baru di bawah Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang sedang berjalan, kedudukan kewangan negara dijangka bertambah baik.

"Dengan pengurusan hutang luar negeri yang berhemat dan pragmatik, kerajaan yakin negara tidak akan mengalami krisis hutang seperti Greece," katanya.

Najib berkata, negara mempunyai asas ekonomi yang kukuh sepertimana yang ditunjukkan oleh pertumbuhan KDNK sebanyak 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini dengan semua sektor ekonomi mencatatkan kadar pertumbuhan positif.

"Pertumbuhan kukuh dan menyeluruh ini dipacu oleh permintaan domestik dan disokong oleh permintaan luar semakin baik.

"Di samping itu, daya saing negara juga telah meningkat dengan ketara kepada kedudukan ke-10 berbanding ke-18 pada tahun lepas mengikut IMD World Competitiveness Yearbook 2010," katanya. - BERNAMA

0 comments: