Followers

Thursday, June 10, 2010

Sektor swasta perlu ambil peranan pertumbuhan ekonomi bawah RMKe-10

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta sektor swasta supaya mengambil peranan menerajui pertumbuhan ekonomi yang sebahagian besarnya untuk mengumpul pelaburan sekitar RM115 bilion setahun bagi memastikan kejayaan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMKe-10).

Perdana Menteri berkata langkah itu merupakan satu cabaran utama serta mengalihkan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan meningkatkan daya saing di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran antarabangsa.
Beliau juga mengumumkan pelaksanaan beberapa langkah untuk meningkatkan lagi penyertaan Bumiputera di dalam ekonomi, memajukan enterpris kecil dan sederhana, memudahkan undang-undang kemuflisan bagi membantu para usahawan yang gagal berikutan risiko perniagaan dan satu undang-undang persaingan untuk memastikan kesamarataan di pasaran.
Najib berkata langkah berkenaan akan membantu menggerakkan Malaysia untuk menjadi salah satu daripada 10 negara teratas di dunia di segi memudahkan melakukan perniagaan menjelang 2015, sebagai satu usaha yang tidak mustahil kerana ia telah menjadi negara ke-10 paling kompetitif di dalam tempoh setahun, dan di dalam proses itu mendahului banyak negara maju.

Bagaimanapun, kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dan akan terus berusaha untuk menjadi antara lima negara teratas di dunia di masa depan, katanya semasa membentangkan rancangan itu bagi tempoh 2010-2015 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam ucapan setebal 59 muka surat yang memakan masa lebih 105 minit itu, katanya RM230 bilion akan diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan di bawah RMK10, di mana 55 peratus akan diperuntukkan bagi sektor ekonomi, 10 peratus bagi keselamatan dan 5.0 peratus bagi pentadbiran am.

Peruntukan program dan projek dilakukan berasas tempoh dua tahun mulai 2011-2012, bagi membolehkan komitmen dilakukan berasaskan kedudukan kewangan kerajaan dan keutamaan yang baharu.
Senarai terperinci program dan projek bagi rancangan boleh pinda itu akan disiapkan menjelang akhir Ogos tahun, katanya.

Perdana Menteri juga menyeru dijalin perkongsian awam swasta (PPP) yang lebih pintar dan berkesan di bawah RMK10, khususnya pelaksanaan 52 projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion yang termasuk tujuh lebuhraya, dua loji penjanaan elektrik arang batu, dan pembangunan tanah seluas 1,320 hektar (3,300 ekar) di Sungai Buloh.

Mereka juga boleh menyertai projek yang diterajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Pembangunan Strategik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad yang meliputi kawasan lapangan Terbang Sungai Besi, Daerah Kewangan Antarabangsa KL di KL dan pembinaan loji regasification gas asli cecair bernilai RM3 bilion oleh Petronas di Melaka dan dua relau pelebur aluminium di Sarawak bernilai RM18 bilion.

Selain itu, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata di dalam usaha untuk membantu projek pembiayaan sektor swasta yang akan menghasilkan kesan limpahan ekonomi yang besar, satu Dana Mudahcara akan disediakan di bawah RMKe-10, yang dijangka menarik pelaburan RM200 bilion dari sektor swasta bagi tempoh lima tahun akan datang.

Projek yang dipertimbangkan di bawah dana ini termasuk penambakan tanah di Westport di Pelabuhan Klang, Malaysia Truly Asia Centre di KL dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia di Johor.

Najib berkata ekonomi diunjurkan berkembang pada kadar purata 6.0 peratus pada 2010-2015 daripada 4.2 peratus di dalam Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMKe-9) dengan pendapatan per kapita dijangka meningkat kepada RM38,850 atau AS$12,140 berbanding RM26,420 atau AS$8,260.

Pertumbuhan di bawah RMKe-10 akan didahului oleh sektor perkhidmatan dan pengeluaran, sebagai tambahan kepada usaha merancakkan sektor pertanian ke arah aktiviti nilai tambah lebih tinggi serta mengguna pakai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi dan teknologi relevan yang lain.

Najib berkata satu unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri akan menetapkan hala tuju dan menjana sistem Inovasi Negara serta dasar dan strategi inovasi untuk membolehkan Malaysia beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi. - Bernama

0 comments: