Followers

Thursday, June 10, 2010

Tingkat penyertaan wanita dalam jawatan tertinggi: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyarankan sektor swasta meningkatkan penyertaan wanita terutamanya dalam jawatan peringkat tertinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah.
Membuat gesaan itu ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata langkah akan diambil untuk meningkatkan penyertaan wanita di pelbagai peringkat dalam sektor awam dan swasta, termasuk bidang keusahawanan.
"Undang-undang dan peraturan berkaitan sedia ada akan disesuaikan bagi mendorong penyertaan lebih besar daripada wanita.
"Kata orang, tangan yang menghayun buai itu mampu menggegar dunia. Status wanita dalam sesebuah masyarakat itu merupakan ukuran penting sama ada negara itu dinamik serta progresif.

"Wanita adalah batu asas keluarga yang sejahtera dan tunjang kepada negara yang berjaya," katanya.

Golongan belia juga mendapat perhatian dalam RMKe-10 apabila Najib mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkemaskan sistem penyampaian program pembangunan belia sedia ada bagi memastikan generasi muda lebih produktif dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, terutama melalui aktiviti persatuan dan sukarelawan.

"Kerajaan akan bersifat akomodatif terhadap aspirasi mereka sebagai segmen terbesar warga negara.
"Kita akan menjadi pendengar dan rakan kongsi yang lebih baik serta kondusif. Idealisme, idea dan tenaga mereka amat diperlukan negara untuk merealisasikan masa depan yang lebih baik," katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan Putrajaya akan dijadikan lokasi tumpuan belia yang menyediakan ruang bagi mereka menjalankan aktiviti serta program bermanfaat dan bersesuaian.

Golongan warga emas turut tidak dilupakan dalam RMK10 apabila Najib mengumumkan tumpuan akan diberi kepada usaha meningkatkan infrastruktur yang lebih mesra warga emas, meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang mampu dibiayai, menyedia rumah perlindungan mencukupi dan mengukuhkan kewangan serta peluang pekerjaan untuk mereka.

Dianggarkan pada tahun 2020, terdapat 3.4 juta orang warga emas di negara ini.

"Kerajaan menyedari bahawa memanfaatkan warga emas adalah satu usaha yang bernilai. Golongan ini seharusnya diberi peluang untuk meghadapi penuaan yang aktif dan produktif," katanya.

Najib berkata, kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta perlu dipertingkatkan untuk membawa pembabitan aktif warga emas dalam aktiviti sosial dan ekonomi negara.

Kerajaan juga, katanya, komited untuk meningkatkan kesejahteraan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menyediakan pelbagai peluang termasuk latihan kemahiran, pekerjaan serta keusahawanan.

"Lebih banyak kemudahan mesra OKU juga akan disediakan, terutamanya dari segi pengangkutan awam serta kemudahan di premis dan pembangunan. Tumpuan juga akan diberi kepada usaha untuk mengarusperdana OKU ke dalam masyarakat supaya mereka boleh berdikari, produktif dan menjadi penyumbang yang dihargai dalam pembangunan," katanya. - BERNAMA

0 comments: