Followers

Thursday, May 27, 2010

Pemansuhan subsidi berperingkat tidak bebankan rakyat: Idris Jala

KUALA LUMPUR: Makmal Rasionalisasi Subsidi mencadangkan supaya subsidi terhadap barang-barang kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak dimansuhkan secara berperingkat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata, pemansuhan itu disaran supaya dibuat secara berperingkat supaya pelaksanaannya tidak membebankan rakyat, dan menurutnya cadangan mengenai pemansuhan itu akan dibawa kepada kabinet tidak lama lagi untuk diperhalusi dan dibuat keputusan muktamad.

"Ia akan dibawa kepada kabinet tidak lama lagi, berserta dengan beberapa saranan, termasuk hasil maklum balas orang ramai hari ini berkenaan perkara tersebut," katanya ketika ditemui semasa melawat Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Makmal itu mencadangkan supaya subsidi tepung dimansuhkan kerana harganya dilihat akan meningkat kepada 20 sen satu kilogram menjelang hujung tahun ini, dan 25 sen pada tahun depan.

Harga gula pula meningkat 20 sen sekilogram setiap enam bulan sehingga 2012, dan harga minyak masak pula meningkat 15 peratus sekilogram menjelang hujung tahun ini, dan 15 peratus lagi tahun depan.

Makmal itu juga menjangka harga petrol meningkat 10 hingga 15 sen seliter pertengahan tahun ini, dan akan meningkat 10 sen setiap enam bulan sehingga 2012.

Mengulas tempoh yang dicadangkan untuk melaksanakan pemansuhan subsidi itu, Idris berkata, masanya tidak ditetapkan kerana ia bergantung kepada jemaah menteri untuk mengkaji terlebih dulu perkara tersebut.
"Tiada tempoh masa, kerana ia perlu dibentangkan di peringkat kabinet terlebih dulu, dan jika kabinet kata perlu buat lebih banyak kajian, mengenai perkara ini, perkara itu, semakan sana dan sini... ia akan ambil masa," katanya. - Bernama

0 comments: