Followers

Sunday, January 3, 2010

2010 ada signifikan pelaksanaan FTA: Mukhriz

KUALA LUMPUR: Bagi 2010 ia mempunyai satu signifikan besar kepada pelbagai pihak dengan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan diharapkan pengeksport Malaysia akan mengambil kesempatan penuh peluang yang ditawarkan oleh pelbagai perjanjian berkenaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Muhkriz Mahathir.

Katanya, Malaysia mendapat manfaat daripada liberalisasi perdagangan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dan banyak peraturan dua hala.

Pada 2008, jumlah dagangan keseluruhan Malaysia adalah 160.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Sambil kita mencatatkan eksport yang lebih rendah pada 2009," Mukhriz berkata, Malaysia sudah mencatatkan peningkatan dari segi prestasi eksport sejak beberapa bulan lalu.

"Bagi meningkatkan lagi eksport walau pun berdepan keadaan luar yang mencabar, pengeksport Malaysia digalakkan menggunakan sepenuhnya pelbagai FTA yang telah ditandatangani kerajaan," katanya.

"Ini termasuk AFTA, FTA serantau seperti Asean-China, Asean-Korea, Asean-Jepun, yang dikuatkuasakan dan Asean-India serta Asean-Australia/New Zealand, yang berkuat kuasa 1 Januari tahun ini," katanya.

Mukhriz mendedahkan bahawa Malaysia telah juga memuktamadkan FTA dua hala dengan Jepun, Pakistan dan New Zealand.

Katanya, banyak pengeksport Malaysia mendapat manfaat daripada FTA dengan Jepun dan Pakistan.

"Perjanjian dengan New Zealand akan berkuat kuasa pada 2010. Perundingan sedang dilakukan dengan aktif untuk memuktamadkan perjanjian dua hala dengan India, Chile dan Australia," katanya.

Menurut Muhkriz, FTA berkenaan bukan saja membuka peluang pasaran baru bagi produk Malaysia, "malah, ia menjadikan harga produk kita kompetitif berikutan layanan duti keutamaan yang ditawarkan oleh rakan perdagangan kita."

Secara bersama, FTA yang dimuktamadkan meliputi 60 peratus daripada perdagangan global Malaysia dan akhirnya menyediakan pasaran bebas duti kepada lebih 3.2 bilion penduduk.

Perjanjian Afta, sebagai contoh, katanya menawarkan layanan bagi hampir keseluruhan produk.

"China dan enam anggota awal Asean akan memberikan layanan bebas duti ke atas 90 peratus produk.

"Bilangan persijilan tempasal (COO) yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada pengeksport kita di bawah skim keutamaan FTA telah meningkat 13.0 peratus kepada 222,476 pada 2008 daripada 196,856 pada 2007.

"Ketika separuh pertama 2009, sambil eksport keseluruhan ke pasaran rakan FTA telah merosot berbanding dengan tempoh yang sama 2008, berlaku peningkatan di dalam agihan eksport yang menggunakan skim keutamaan di bawah FTA," kata Mukhriz.

Mulai Januari hingga Jun 2009, beliau mendedahkan bahawa eksport yang menggunakan kadar keutamaan di bawah AFTA berjumlah RM10.61 bilion berbanding dengan tempoh yang sama 2008 manakala eksport ke Korea dicatatkan RM9.98 bilion berbanding dengan RM6.6 bilion.

Mukhriz turut menyatakan bahawa Miti akan meningkatkan program capaiannya kepada syarikat Malaysia untuk mewujudkan kesedaran lebih tinggi peluang yang besar yang dihasilkan oleh FTA berkenaan.

Katanya, banyak perbincangan dan program bersama dengan pelbagai Dewan Perniagaan dan persatuan perdagangan yang lain dijangka membantu pengeksport Malaysia kekal berdaya saing di tengah-tengah persekitaran pasaran asing yang mencabar. - Bernama

0 comments: