Followers

Thursday, October 14, 2010

Undang-undang lindungi data pemetaan digubal: TPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan dasar dan perundangan yang khusus dan menyeluruh bagi menggalakkan serta memantapkan lagi penggunaan data geospatial dalam arus pembangunan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, undang-undang itu akan memberi tumpuan kepada kerahsiaan dan keselamatan data, prinsip pemilikan data, pengkongsian data, penyelarasan, penyebaran data dan piawaian.
Katanya, akta itu perlu bagi mengoptimum potensi teknologi geospatial seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS-Geographic Information System) dalam pembangunan negara, kerana pada masa ini masih terdapat beberapa halangan seperti tiada pangkalan data yang bersepadu kerana data yang dikumpul dan disimpan oleh agensi masing-masing, terdapat kesukaran memperoleh data digital dan kerjasama antara agensi kerajaan untuk berkongsi pangkalan data GIS.
"Tujuannya untuk menguruskan maklumat geospatial sebagai aset kerajaan yang berharga dalam menyokong aktiviti pembangunan negara.

"Ia juga akan membantu pembangunan infrastruktur GIS dan pembangunan modal insan bagi mendokong perkembangan GIS di negara kita," katanya ketika melancarakan sambutan ulang tahun ke-125 Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, usaha menggubal dasar dan perundangan itu telah dimulakan oleh Jawatankuasa Pemetaan dan Data Spatial Negara.

Beliau juga berkata, peranan dan sumbangan Jupem sebagai pembekal utama maklumat geospatial iaitu data pemetaan dan kadaster amat diperlukan oleh agensi kerajaan lain yang terbabit dalam pelaksanaan projek pembangunan seperti infrastruktur asas luar bandar dan pengangkutan awam.
"Isu yang berkaitan dengan sumber asli negara terutama tanah perlu ditangani secara bijak dan berkesan untuk menggalakkan pelaburan dan aktiviti-aktiviti ekonomi.

"Penyelesaian isu ini memerlukan maklumat dan data yang tepat dan menyakinkan tentang tanah dan sumber alam yang lain," katanya.

Muhyiddin menyarankan JUPEM agar bekerjasama dengan agensi lain dalam membangun dan mengesan semula data yang hilang dalam usaha menguruskan pemetaan utiliti bawah tanah seluruh negara.

Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan sistem e-Kadaster JUPEM. - BERNAMA

0 comments: