Followers

Tuesday, September 21, 2010

Terowong dasar laut Malaysia-Singapura antara pilihan realisasikan RTS

PUTRAJAYA: Terowong dasar laut antara Malaysia-Singapura adalah antara pilihan yang sedang diteliti kedua-dua negara, bagi merealisasikan Perkhidmatan Pengangkutan Transit Aliran Deras (RTS) antara Johor Bahru dan Woodlands (Singapura), seperti mana yang dipersetujui dalam pertemuan Mei lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata walaupun ia membabitkan kos yang tinggi, namun ia adalah pilihan yang lebih mesra alam. "Kita sudah pun mempunyai beberapa pilihan tapi masih perlu duduk berbincang secara serius dengan pihak Singapura untuk dikemukakan dengan perjanjian berhubung cara untuk sama-sama membangunkannya," katanya selepas majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di kementerian di sini, hari ini. Kong berkata, pilihan lain termasuklah untuk membuat satu lagi tambak bagi menghubungkan kedua-dua negara, yang membabitkan kos yang lebih murah namun tidak mesra alam.

Beliau berkata, membina jambatan juga adalah pilihan, namun jenis jambatan itu perlu ditentukan kerana laluan selat Johor masih dilalui kapal dagang.

"Saya berpendapat pembangunan pada masa depan berhubung hubungan antara Malaysia dan Singapura kita tidak boleh bergantung melalui tambak saja. Tren itu mungkin dua atau tiga perjalanan saja sehari tetapi bagi aliran manusia secara berterusan antara Singapura dan Johor Bahru, kita perlukan pengangkutan yang lebih berkesan dan tetap, selain teksi dan bas," katanya.

Sistem pengangkutan awam yang membabitkan trek sepanjang kira-kira 1.5 kilometer itu dijadualkan akan disiapkan menjelang 2018.
Katanya, ia bermula di Tanjung Puteri di Johor Bahru manakala stesen di Woodlands masih belum dikenal pasti, katanya. - Bernama

0 comments: