Followers

Tuesday, September 21, 2010

Nompor plat MCA: Kong kemuka surat sebagai bukti

PUTRAJAYA: Kontroversi nombor pendaftaran kenderaan dengan huruf "MCA" yang dikatakan hanya untuk ahli parti MCA mempunyai kebenaran jika sepucuk surat yang didedahkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri, Kong Cho Ha, dijadikan bukti.
Setiausaha Agung MCA itu menunjukkan surat berkenaan kepada pemberita hari ini selepas diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai desas-desus bahawa nombor plat "MCA" yang bakal didaftarkan di Melaka selepas nombor plat "MBY", hanya dikhususkan untuk ahli MCA. "Saya ada surat ini bertarikh 17 Februari, 2010. Saya tak perlu cakap apa-apa, ada surat," katanya di sini. Ditanya mengenai kandungan surat itu, Kong berkata: "Ia berkenaan siapa yang bercakap benar dan siapa yang tidak."

Surat itu yang kemudian diberi kepada pemberita, didapati ditulis Setiausaha Sulit Kanan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, yang meminta pembukaan tender bagi nombor pendaftaran kenderaan negeri Melaka bermula MCA 1 sehingga MCA 9999 dikecualikan.

Surat itu ditujukan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan.

Ong, dalam laporan akhbar hari ini, menafikan desas-desus bahawa beliau telah menggunakan kuasanya ketika itu untuk mengarahkan JPJ membekukan penjualan nombor plat tersebut, bagi dikhususkan kepada MCA.
Diminta mengulas lanjut isu tersebut, Kong yang ditemui selepas jamuan Aidilfitri kementeriannya berkata beliau akan membatalkan arahan tersebut.

"Siapapun tidak berhak menempah nombor untuk MCA. Ia adalah sebahagian nombor pendaftaran kenderaan yang dikeluarkan JPJ mengikut setiap negeri," katanya.

Sementara itu mengenai Ops Sikap Ke-22 yang berakhir Jumaat lepas, Kong berkata walaupun terdapat pengurangan daripada segi jumlah kemalangan dan kematian berbanding Ops Sikap terdahulu, statistik kematian masih tinggi.

"Kami masih tidak puas hati, kami berpandangan masih banyak usaha harus diambil khususnya untuk menukar pemikiran masyarakat mengenai keselamatan jalan raya sebab rakyat kita belum ada satu budaya keselamatan jalan raya," katanya.

Ops Sikap Ke-22 merekodkan sejumlah 16,817 kemalangan berbanding 17,335 tahun sebelumnya, manakala jumlah kematian yang direkodkan adalah 244 berbanding 265 pada tahun sebelumnya. - BERNAMA

0 comments: