Followers

Tuesday, September 21, 2010

Siasatan kes bunuh Sosilawati siap dua minggu lagi: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Beliau berkata, polis hari ini menyerahkan kertas siasatan awal ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti. "Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Datuk Seri Mohd Bakri Zinin) sudah memberi jaminan proses siasatan akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu. "Ini termasuk laporan lengkap DNA bagi membolehkan proses pendakwaan dimulakan secepat mungkin," katanya di sini, sebentar tadi.

Beliau sebelum itu merasmikan Pusat Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laman sosial Facebook PDRM di Bukit Aman, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail; Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) PDRM, Datuk Muhamad Fuzi Harun dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun.

Hishamuddin berkata, proses mengenalpasti DNA sedang giat dilakukan sekumpulan pakar forensik Jabatan Kimia dan ia dijangka selesai dalam sedikit masa lagi.
"Ujian DNA ini mengambil masa, namun saya dimaklumkan prosesnya berjalan lancar dan boleh membantu menyelesaikan kes ini.

"Kita berharap kes ini dibawa segera ke mahkamah kerana ia sudah menarik perhatian banyak pihak, terutama orang ramai yang mengikuti perkembangannya sejak mula," katanya.

Selain Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, turut dibunuh ialah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38.

Kesemua mangsa dilaporkan dipukul hingga mati, kemudian diikat dan ditikam berkali-kali sebelum dibakar di sebuah ladang persendirian di Tanjung Sepat, Morib seterusnya dibuang ke beberapa sungai berhampiran bersama barangan peribadi masing-masing bagi menghapuskan bukti, termasuk senjata digunakan dalam pembunuhan itu.

Lapan suspek berusia 19 hingga 41 tahun sudah ditahan, termasuk dua beradik peguam.

Hishamuddin secara keseluruhannya berpuas hati dengan pencapaian PDRM dan agensi berkaitan yang mengendalikan proses siasatan kes berkenaan, terutama dari peringkat awal kehilangan Sosilawati bersama tiga rakannya yang membawa kepada pembongkaran kes pembunuhannya.

Beliau turut mengingatkan media supaya mengambil kira isu sensitiviti tertentu dalam setiap laporan berhubung perjalanan kes berkenaan supaya tidak disalahtafsir hingga boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat.

0 comments: