Followers

Tuesday, September 21, 2010

Indonesia larang rakyatnya ke Malaysia untuk jadi amah

JAKARTA: Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar, hari ini melarang rakyatnya untuk pergi bekerja di Malaysia sebagai pemnatu rumah sehingga kerajaan Indonesia mampu memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka.
Kenyataan Muhaimin itu sebagai reaksi kepada kes terbaru membabitkan penganiayaan terhadap pembantu rumah Indonesia, Winfaedah, di Malaysia pada 13 September lalu. Katanya, kes itu menjadi bukti bahawa mereka menanggung risiko tinggi jika pergi bekerja tanpa dokumen rasmi yang lengkap. "Jadi jangan berangkat ke Malaysia dulu sampai ada perlindungan yang jelas," katanya dipetik portal berita Kompas.Com.

Selain Malaysia, dua negara lain yang turut diminta dihindari calon itu sehingga ada kepastian perlindungan terhadap mereka ialah Kuwait dan Jordan.

Bagi melindungi keselamatan dan hak tenaga kerja Indonesia, Muhaimin berkata kerajaan Indonesia menetapkan bahawa pasport harus dipegang oleh mereka dan mereka juga diberi cuti pada hari minggu.

Mereka juga juga diminta sentiasa menyelaras dengan kedutaan besar Indonesia atau pejabat perwakilan Indonesia lainnya di negara mereka bekerja.
Beliau turut meminta agensi pekerjaan Indonesia memainkan peranan memperbaiki pengurusan komunikasi antara tenaga kerja Indonesia yang bekerja di luar negera dengan majikan mereka bagi membantu memberi pelindungan yang diharapkan itu.

Kes penganiayaan Winfaedah menarik perhatian Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang berkomunikasi secara terus dengan wanita itu.

Susilo turut meminta kedutaan besar Indonesia di Kuala Lumpur agar mengawasi proses undang-undang terhadap Winfaedah yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Winfaedah yang berasal dari Lampung berusia 26 tahun itu dilapor dianiaya dan diperkosa majikannya dan kemudian ditinggalkan di tepi jalan sebelum ditemui 13 September lalu.

Kerajaan Indonesia menghargai tindakan cepat Polis Malaysia menangkap majikan Winfaedah berkaitan dengan kes itu. - BERNAMA

0 comments: