Followers

Tuesday, December 22, 2009

Model Ekonomi Baru Malaysia diminati pelabur Jepun

KUALA LUMPUR: Masyarakat perniagaan Jepun berminat mendapatkan maklumat penuh Model Ekonomi Baru Malaysia dan kemajuan yang dicapai di pelbagai koridor ekonomi, terutama Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak.

Perkara itu dinyatakan pada temu bual oleh Nikkei Business Jepun bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menjelaskan kepada majalah mingguan itu mengenai perancangan umum untuk meningkatkan ekonomi negara kepada pendapatan lebih tinggi berbanding status ekonomi pendapatan sederhana tinggi sedia ada.

Kerajaan sudah merangka Model Ekonomi Baru berasaskan inovasi, kreativiti dan sumber pertumbuhan bernilai tinggi, katanya.

"Model ini bertujuan mengalihkan pergantungan kami daripada sektor pembuatan yang menggunakan tenaga pekerja separuh mahir dan berkos rendah kepada sektor yang memberi tumpuan terhadap perkhidmatan moden dan teknologi tinggi yang bergantung kepada pekerja mahir dan berpendapatan tinggi," katanya pada temubual sejam itu.

"Bagi merealisasikannya, kami perlu meningkatkan pelaburan dalam pembangunan modal insan dan membangunkan asas yang kukuh dalam penyelidikan dan pembangunan, reka cipta dan kejuruteraan dan mengkomersilkan aktiviti penyelidikan," katanya.

Bagi pembangunan koridor, beliau berkata, ia bertujuan menyebar luas pembangunan ekonomi di seluruh negara dengan tumpuan khusus.

"Pembangunan koridor berjalan lancar. Ada yang bergerak lebih cepat berbanding yang lain," katanya dan menambah, Iskandar Malaysia memperoleh pelaburan besar, terutama dari Timur Tengah.

Mengulas pertemuannya bersama tokoh-tokoh industri di Tokyo dan Osaka ketika misi pelaburan khusus dari 7 hingga 10 Disember, Muhyiddin berkata pertemuan terbabit "aktif dan membuahkan hasil".

"Kami berbincang mengenai pelbagai bidang kepentingan bersama serta insentif. Kami juga berbincang cara syarikat, seperti Toyota dapat membantu Malaysia meningkat ke hadapan dalam industri automotif."

Pada asasnya, beliau berkata, pelabur Jepun tidak sekadar berminat membuat pelaburan sekali di Malaysia, malah meluaskannya berdasarkan potensi yang boleh ditawarkan pada masa depan.

Muhyiddin berkata, ia adalah peluang untuk beliau menjelaskan dasar kerajaan Malaysia kepada masyarakat perniagaan Jepun.

Pada temubual itu, Nikkei Business juga meminta Muhyiddin mengulas perniagaan halal dan potensinya, sambil berkata, pelabur Jepun juga berminat dalam bidang itu.

"Malaysia sudah berjaya sebagai negara Islam paling maju dalam penetapan standard Halal, yang sangat ketat," katanya.

Beliau menjelaskan bagaimana makanan, produk dan perkhidmatan boleh dilabel sebagai halal.

"Kami yakin terdapat potensi besar, terutama dalam farmaseutikal dan kosmetik," katanya.

Sektor lain kepentingan bersama ialah kewangan dan perbankan Islam serta pelancongan.

Pelaburan Jepun di Malaysia melonjak kepada AS$1.87 bilion antara Januari dan September menerusi 45 projek yang diluluskan, menjadikannya pelabur asing terbesar di Malaysia.

Tahun lalu, jumlah pelaburan dari Jepun bernilai AS$1.6 bilion menerusi 60 projek yang diluluskan.

Setakat ini, terdapat 2,260 projek dengan penyertaan Jepun yang dilaksanakan dalam sektor pembuatan di Malaysia, dengan pelaburan bernilai AS$14.9 bilion.

Sejak lima tahun lalu, dagangan Malaysia dengan Jepun merekodkan aliran meningkat.

Tahun lepas, jumlah dagangan Malaysia dengan Jepun bernilai AS$41.1 bilion, dengan eksport AS$21.6 bilion dan import AS$19.5 bilion.

Jepun adalah pasaran eksport ketiga besar Malaysia tahun lepas dan sumber import kedua terbesar Malaysia.

Eksport utama Jepun ialah gas asli cecair, peralatan elektrik dan elektronik, produk kayu, produk kimia dan berasaskan kimia, perkakasan optik dan saintifik.

Import utama Malaysia dari Jepun pula membabitkan produk elektrik dan elektronik, mesin, alat ganti, produk fabrikasi, perkakasan pengangkutan, besi dan keluli. - Bernama

0 comments: