Followers

Thursday, December 17, 2009

Sabah & Sarawak: 7,000 banjiri Pesta Bagandang


MUSA (tiga dari kanan) diarak dalam perahu berhias selepas merasmikan Pesta Bagandang dan Ekspo Perdagangan Beaufort di pekan Beaufort.

BEAUFORT: Kira-kira 7,000 orang membanjiri tapak tamu di pekan ini bagi memeriahkan Pesta Bagandang dan Ekspo Perdagangan Beaufort selama empat hari yang berakhir kelmarin.

Mereka yang datang dari daerah ini dan daerah berhampiran seperti Sipitang, Tenom, Papar dan Kota Kinabalu jelas terhibur dengan pelbagai acara kebudayaan dan sukaneka, selain berbelanja di puluhan gerai yang menyediakan pelbagai barangan.

Festival dan ekspo berkenaan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Kamarlin Ombi.

Ketika berucap merasmikannya, Musa berkata, program seumpama itu mampu memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum, selain menggiatkan industri pelancongan di daerah ini.

"Melalui program seumpama ini, masyarakat pelbagai bangsa dan agama dapat berkumpul untuk sama-sama meraikannya. Secara tidak langsung, perpaduan yang sedia terjalin mampu diperkukuh," katanya.

Musa berkata, penganjuran festival dan ekspo tahunan itu turut meningkatkan industri pelancongan negeri ini yang sememangnya kaya dengan pelbagai khazanah alam semulajadi.

Selain itu, katanya, ia juga memberi peluang kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing, selain membina rangkaian pemasaran lebih luas melalui kerjasama dengan usahawan dari daerah lain.

"Kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri memberi manfaat kepada usahawan IKS. Inilah peluang untuk usahawan IKS membina rangkaian pemasaran secara lebih luas," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta usahawan terbabit menjadikan program berkenaan sebagai landasan untuk meningkatkan perniagaan pada masa depan.

Musa turut berharap muzik tradisional yang dimainkan pada festival itu dikekalkan pada tahun depan kerana ia adalah khazanah budaya yang harus dipertahankan.

0 comments: