Followers

Thursday, December 17, 2009

Negara kaya janji AS$22 bilion perangi pemanasan global

COPENHAGEN: Negara-negara kaya semalam menjanjikan sumbangan sehingga AS20 bilion (RM66 bilion) sebagai usaha memerangi isu pemanasan global, sekali gus memperlihatkan titik permulaan Sidang Kemuncak Mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini.

Jepun mengetuai inisiatif itu dengan menjanjikan bantuan 1.75 trilion Yen (AS$19.5 bilion), termasuk 1.3 trillion Yen dalam Dana Awam khusus kepada negara sedang membangun bagi menangani perubahan iklim.

Jepun kini bersama empat negara lain komited dengan inisiatif dana itu, termasuk Australia, Britain, Perancis, Norway dan Amerika Syarikat.

Semua lima negara berkenaan berjanji akan mewujudkan dana berkenaan untuk menangani isu penebangan hutan, yang menjadi punca utama peningkatan suhu dunia yang membawa kepada kemarau, ribut petir dan perubahan cuaca tidak menentu.

"Jepun mengambil berat perkara ini dan bertanggungjawab kepada komuniti dunia," kata Menteri Alam Sekitarnya, Sakihito Ozawa ketika mengumumkan dana terbesar daripada negara itu.

Negara Eropah pula sudah menyatakan persetujuan untuk menyalurkan 7.2 bilion Euros (AS$10.6 bilion) sebagai dana permulaan untuk tempoh tiga tahun dari 2010 hingga 2012 bagi membantu negara sedang membangun bagi menangani perubahan iklim.

Dalam satu kenyataan bersama enam kerajaan negara terbabit, mereka secara kolektif bersetuju memperuntukkan AS3.5 bilion mulai 2010 hingga 2012 sebagai dana untuk membiayai aktuviti perhutanan semula.

Pengumuman itu dilihat sebagai satu momentum awal bagi memperlihatkan komitmen 120 negara di dunia yang berkumpul di sidang kemuncak itu sehingga esok bagi menangani isu pemanasan global, terutama kesannya terhadap negara membangun dan miskin. - AFP

0 comments: