Followers

Thursday, December 17, 2009

Sabah & Sarawak: Rumah terbuka Krismas erat perpaduan

KOTA KINABALU: Anggota masyarakat di negeri ini tidak harus melepaskan peluang memeriahkan Rumah Terbuka Krismas Peringkat Kebangsaan, di Padang Merdeka, di sini 27 Disember ini.

Majlis itu dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah dan isteri, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar serta Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Program anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama kerajaan negeri dan bertemakan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ itu bermula pada jam 12.30 tengah hari hingga 6 petang.

Dalam kenyataannya di sini semalam, kementerian itu berkata, program berkonsep pemimpin turun padang itu bertujuan membolehkan pemimpin dan rakyat meraikan Krismas sambil tidak melupakan golongan kurang bernasib baik, kurang upaya dan warga tua.

Pengunjung berpeluang menikmati makanan tradisi masyarakat tempatan. Majlis yang akan diserikan dengan kehadiran Santa Claus dan Santa Rina yang memberi hadiah kepada kanak-kanak, selain persembahan artis seperti Jamal Abdillah, Stacy, Iqwal Hafiz , Karen Tan, Clarice John Matta dan Everitus Gungkit.

Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian 1Malaysia, persembahan Kumpulan Orkestera Tradisional Malaysia dan koir.

0 comments: