Followers

Wednesday, December 16, 2009

Amaran angin kencang, laut bergelora

KUALA LUMPUR: Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer (km) sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berlaku di perairan Condore, Reef North dan Layang-layang di Laut China Selatan dijangka berterusan sehingga 23 Disember depan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, kegiatan sukan dan rekreasi laut, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.

Angin kencang Timur Laut itu juga diramal berlaku di perairan Samui (Kalantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur), Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (pantai Barat dan Kudat) dan Palawan bermula esok hingga 23 Disember depan.

Sehubungan itu, kawasan pantai di pantai timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu dan Pahang) adalah terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sepanjang tempoh tersebut, kata kenyataan itu.

Keadaan ini juga amat berbahaya kepada bot-bot kecil, sukan dan rekreasi laut.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran bahawa ribut petir yang berlaku di perairan Sabah (Bahagian Pantai Barat), Condore dan Reef North dijangka berterusan sehingga tengah hari ini.

Keadaan ini turut menyebabkan angin kencang sehingga 40 km sejam dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian 2.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. - Bernama

0 comments: