Followers

Wednesday, December 16, 2009

Malaysia harap persidangan di Copenhagen capai hasil konkrit: PM

COPENHAGEN: Malaysia berharap Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa 2009 (COP15) berakhir dengan perjanjian yang mengikat atau sekurang-kurangnya komitmen politik semua negara untuk menangani kesan perubahan iklim dunia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, amat penting bagi persidangan Copenhagen mencapai persetujuan itu kerana kegagalan akan memburukkan keadaan akibat perubahan iklim, sekali gus menjejaskan masa depan manusia sejagat.

"Yang kita akan utamakan ialah perjanjian yang mengikat dan sekiranya perjanjian yang mengikat itu tidak dapat dicapai, kita akan mengesyorkan supaya komitmen politik dibuat dalam bentuk deklarasi yang dipersetujui semua ketua kerajaan.

"Adalah amat penting sidang Copenhagen ini mencapai kejayaan kerana soal perubahan iklim ini begitu mendesak lagi kritikal. Sejak Deklarasi Bali selama dua tahun negara di dunia ini berusaha untuk mencapai kata sepakat.

Justeru jika sidang Copenhagen ini gagal implikasinya sangat buruk kepada survival masa depan manusia sejagat kerana kesan burk termasuk mala petaka yang akan berlau engan lebih dahsyat lagi sehingga keadaan di planet ini menjurus kepada keadaan yang mengancam survival masa depan manusia," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Najib tiba di sini jam 6.45 pagi semalam (1.45 petang waktu Malaysia) bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, untuk menghadiri sesi persidangan peringkat pemimpin esok.

Mereka disambut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, dan Duta Malaysia ke Sweden, Datuk Kamarudin Mustafa.

Perdana Menteri akan berucap pada persidangan itu esok bagi menyatakan sumbangan dan komitmen Malaysia bagi menangani perubahan iklim dunia.

COP 15 yang berlangsung selama 11 hari mulai 7 Disember lalu itu disertai 192 negara dan 110 ketua kerajaan.

Mengenai perjalanan persidangan itu setakat ini, Najib berkata pendirian antara negara maju dan membangun masih agak jauh berbeza.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia berharap akan berlaku penyatuan dalam pendirian masing-masing supaya dapat dicapai persetujuan pada sidang Copenhagen ini.

"Amat sukar untuk kita menyatakan apa bentuk penyudahannya dalam sidang ini, saya sudah diberitahu menteri alam sekitar yang mengikutinya sejak mula bahawa berlaku percanggahan yang agak ketara di antara negara maju dan sedang membangun dan ada usaha seperti menolak Protokol Kyoto atau sebagainya.

"Kita berharap dalam sehari dua ini akan berlaku pendirian yang dapat menjuruskan kepada kata sepakat," katanya.

Ditanya pendirian negara pada sidang kali ini, Perdana Menteri berkata Malaysia mahu negara maju memberi komitmen bagi pengurangan pelepasan karbon dioksida atau gas rumah hijau yang tetap dalam jangka waktu tertentu dan diwujudkan dana dengan nilai yang munasabah untuk kegunaan negara membangun.

Beliau berkata, Malaysia juga menentang sebarang usaha menetapkan sasaran wajib untuk negara membangun mengurangkan pelepasan karbon atau mengaitkannya dengan perdagangan.

"Bagi negara membangun, kita harap mereka dapat menentukan sasaran yang berasaskan kemampuan masing-masing secara suka rela. Kita juga menentang sebarang usaha mengaitkan dengan perdagangan dan sebagainya," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan mendidik rakyat bagi memberi kefahaman berhubung peranan yang boleh mereka mainkan bagi menjayakan komitmen negara kepada usaha menangani perubahan iklim.

"Proses pendidikan amat penting untuk rakyat memahami peranan yang perlu dimainkan rakyat dan sekiranya kerajaan melaksanakan apa-apa dasar maka mereka sedia menerimanya," katanya.

0 comments: