Followers

Wednesday, December 16, 2009

Sabah & Sarawak: Premis kotor tempat biak nyamuk


KURUP (kiri) melawat demonstrasi membuat baja kompos oleh kakitangan Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau, sempena Gotong-Royong Perdana Banteras Denggi di Sook.

Sembur asap tak berkesan jika penduduk buang sampah merata

KENINGAU: Sikap segelintir anggota masyarakat membuang sampah merata-rata dan tidak mengendahkan kebersihan sekeliling premis masing-masing, dikenal parti punca merebaknya demam denggi hingga meragut beberapa nyawa di Sook, dekat sini.

Walaupun jumlah kematian akibat penyakit berkenaan belum mencapai tahap serius, ia perlu dibanteras melalui kaedah memulihara kebersihan di kawasan tempat tinggal.

Ketika memberi peringatan itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup menegaskan, tiada guna Jabatan Kesihatan menyembur asap mencegah pembiakan nyamuk aedes jika anggota masyarakat sendiri tidak mahu mengambil berat aspek pemeliharaan kebersihan.

"Wabak denggi boleh dicegah jika kita mempunyai kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bagaimanapun, masih ada anggota masyarakat yang degil dan tidak mahu membersihkan persekitaran tempat tinggal sendiri kerana malas. Hanya selepas diserang denggi, barulah hendak membersihkan persekitaran yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Beliau berucap pada majlis gotong-royong perdana membanteras wabak denggi sempena Karnival Alam Sekitar di pekan Sook, dekat sini semalam.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ellron Alfred Angin; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah, Abdul Razak Abdul Manaf dan Penolong Pegawai Daerah Sook, Jasli Tindi.

Program itu dihadiri kira-kira 500 penduduk sekitar pekan Sook yang membersihkan parit dan kawasan sekitar pekan ini bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Sehubungan itu, Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, mengajak anggota masyarakat supaya sama-sama melaksanakan tanggungjawab memelihara kebersihan bagi memastikan mereka tidak diserang penyakit berbahaya itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah penduduk di kawasan berkenaan yang menghidap denggi.

Kurup juga mengingatkan petani supaya mematuhi garis panduan ditetapkan Jabatan Alam Sekitar ketika meneroka hutan dan membersihkan ladang.

Katanya, pembakaran hutan secara terbuka bukan setakat mencemari udara, malah memusnahkan sumber alam semula jadi yang seharusnya dikekalkan demi kesejahteraan kesihatan.

0 comments: