Followers

Wednesday, December 2, 2009

Tentera AS tetap tinggalkan Iraq 2011: Obama


WEST POINT, New York: Presiden Barack Obama mengulangi ikrar bahawa semua tentera Amerika Syarikat akan meninggalkan Iraq menjelang akhir 2011 seperti dirancang walaupun ketidaktentuan berhubung penganjuran pilihan raya umum di negara itu.

“Hari ini selepas kos yang amat tinggi, kita membawa peperangan Iraq kepada penamatan secara yang bertanggungjawab," kata Obama kepada kadet tentera yang berhimpun di akademi tentera terkemuka, West Point, ketika beliau mengumumkan strategi baru di Afghanistan.

“Kita akan membawa keluar briged tempur kita dari Iraq menjelang akhir musim panas akan datang dan semua tentera menjelang akhir 2011," katanya sambil memuji pengorbanan askar AS.

Namun, terdapat kebimbangan kerana ketidaktentuan berhubung tarikh pilihan raya yang dirancang pada Januari akan memaksa jadual pengunduran tentera AS dilanjutkan.

Pilihan raya itu menjadi tidak pasti selepas Naib Presiden Iraq, Tareq al-Hashemi, menggunakan kuasa veto membatalkan perundangan baru berhubung pilihan raya beberapa hari selepas ia diluluskan.

Suruhanjaya pilihan raya Iraq pula menyatakan ia menghentikan tugas buat sementara waktu, sekali gus bermakna pemilihan akan ditunda.

Pilihan raya itu dilihat penting untuk pengutuhan demokrasi Iraq sebelum pengunduran tentera AS. - AFP

0 comments: