Followers

Wednesday, December 2, 2009

Kerajaan timbang kemampuan sebelum beli Eurocopter: PM

LANGKAWI: Malaysia melihat helikopter jenis Eurocopter EC725 sebagai pilihan terbaik bagi menggantikan helikopter Nuri untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tetapi pembeliannya tertangguh disebabkan kemampuan kewangan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) telah meluluskan proses berhubung cadangan pembelian itu.

"Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Kementerian Pertahanan dan TUDM mahukan helikopter jenis ini dan kerajaan pun bersetuju. Daripada segi integriti, proses ini tidak boleh dipersoalkan, jadi, yang menjadi soal sekarang ialah kemampuan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri selepas melawat pameran dan menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian kontrak antara kerajaan dan syarikat dalam industri pertahanan sempena Pameran Maritim dan Udara Antarbangsa Langkawi (Lima 2009) hari ini.

Beliau ditanya bilakah urusan pembelian helikopter berkenaan dapat diselesaikan.

September lalu, Kementerian Pertahanan mengumumkan hasrat untuk membeli 12 Eurocopter EC725 berharga RM1.2 bilion tetapi sehingga kini, ia belum dilakukan.

Pada Disember tahun lalu, PAC menjalankan satu siasatan dan mendapati proses untuk membeli pesawat itu adalah mengikut peraturan dan mengesyorkan penubuhan sebuah panel bebas untuk menasihatkan kerajaan berhubung urusan pembelian itu.

Najib berkata kerajaan akan mengkaji kaedah berhubung kemampuan dan keupayaan kerajaan membeli pesawat itu.

"Dari segi prestasinya, helikopter ini mempunyai kemampuan yang tinggi dalam kelasnya," kata Perdana Menteri. - Bernama

0 comments: