Followers

Wednesday, December 2, 2009

Kanak-kanak 7 tahun mangsa kelima banjir Kelantan

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun lemas akibat tergelincir ke dalam sebuah parit dalam kejadian di Kampung Paloh, Pintu Geng dekat sini, menjadikan jumlah mangsa banjir yang maut di Kelantan meningkat kepada lima orang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Zahruddin Abdullah, berkata mangsa, Wan Muhammad Azafar Wan Ahmad, dipercayai bermain-main di kawasan itu bersama sepupunya sebelum tergelincir dan terjatuh.

"Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa dipercayai tergelincir dan lemas dibawa arus deras. Mangsa dihanyutkan air sehingga masuk ke dalam serombong di bawah jalan raya.

"Gerakan mencari menemui mayat mangsa jam 2.05 petang tadi kira-kira 150 meter dari tempat dia dipercayai terjatuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim, Mohd Radhi Ibrahim, berkata pihaknya menerima pangggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah hari dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

"Satu jentera bomba dengan kekuatan tujuh anggota dibantu lima anggota unit skuba Kota Bharu dikejarkan ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

"Pelbagai usaha dilakukan termasuklah mengorek jalan raya yang menutupi serombong laluan air bagi mencari mayat mangsa," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Nik Faizah Nik Mat, 29, berkata, anak kedua dari empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian malang itu menimpanya.

"Azafar sememangnya seorang kanak-kanak yang agak pendiam dan tidak banyak bercakap. Sikapnya yang sememangnya begitu membuatkan saya tidak perasan sebarang perubahan pada dirinya sebelum dia pergi meninggalkan kami semua buat selamanya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebelum kejadian itu beliau sempat melihat anaknya menjamah sarapan pagi sebelum keluar bermain bersama sepupunya, Mohd Izzat Azmi.

"Saya tidak menyangka dia keluar bermain berhampiran parit besar itu dan terkejut apabila tengahari tadi Mohd Izzat berlari ke rumah saya dan memberitahu anak saya terjatuh ke dalam parit," katanya.

Nik Faizah berkata, sebaik mengetahui kejadian itu beliau bergegas ke tempat kejadian dan turun ke dalam parit tersebut untuk mencari Azafar bagaimanapun beliau terpaksa naik semula ke permukaan jalan disebabkan arus yang terlalu deras ketika itu.

Sejak Kelantan dilanda banjir awal November lalu, sudah empat nyawa terkorban akibat lemas dan lima jajahan terbabit banjir iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Kota Baharu. - Bernama

0 comments: