Followers

Sunday, November 29, 2009

Pertingkat kerjasama negara jiran banteras lanun: Zahid

LANGKAWI: Kerjasama dengan negara jiran perlu ditingkatkan dalam usaha membanteras kegiatan lanun di Laut China Selatan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata mengikut rekod, kegiatan lanun di perairan berkenaan sudah berkurangan, tetapi kerjasama erat akan terus dijalin di kalangan negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Kita mendapat tawaran daripada Australia untuk membantu, bagaimanapun kerjasama sedia ada dengan negara jiran dari segi latihan bersama dan peralatan mampu mengawal perairan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Maritim di Awana Porto Malai di sini, hari ini.

Beliau berkata untuk memastikan keselamatan perairan negara, rondaan akan terus ditingkatkan termasuk menggunakan kapal selam dan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut, Jabatan Kastam, Pasukan Gerakan Polis Marin dan Jabatan Perikanan.

Sementara itu, 150 peserta dari 24 negara menyertai Persidangan Antarabangsa Maritim yang diadakan sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima 09). - Bernama

0 comments: