Followers

Sunday, November 29, 2009

Kajian komprehensif dibuat mengenai GST

IPOH: Kerajaan sudah menjalankan kajian yang agak lama dan komprehensif mengenai rancangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata kajian itu penting bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat di samping memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara kompetitif.

"Kita telah membuat kajian yang mendalam...matlamat kita adalah untuk menjaga kesejahteraan rakyat," katanya ketika diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak terhadap pelaksanaan GST.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Rang Undang- undang berhubung pengenalan GST akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir sidang semasa Dewan Rakyat dan Ahmad Husni kelmarin berkata kerajaan merancang mengenakan GST pada kadar empat peratus.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis Qurban Umno Bahagian Gopeng di sini hari ini, Ahmad Husni berkata sebanyak 143 buah negara telah melaksanakan GST dan dijadikan contoh dalam kajian berkenaan.

Katanya, dalam kelompok negara Asean, selain Malaysia, hanya Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkan GST.

Kerajaan menjangka pendapatan tahunan meningkat RM1 bilion, setahun lalu GST diperkenalkan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan dan dijangka dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua pada Mac tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Husni berkata krisis kewangan yang melanda Dubai dijangka tidak akan menjejaskan Malaysia kerana pelaburan negara di sana lebih kepada perdagangan eksport semula yang melibatkan negara-negara Teluk.

Sementara itu, Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata peruntukan sebanyak RM1.7 juta telah diluluskan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi pembinaan jambatan baru di Kampung Manjoi bertujuan mengatasi masalah banjir.

Katanya, MBI juga akan membelanjakan sebanyak RM300,000 bagi menaik taraf pasar Manjoi selain membesarkan dua surau di kampung berkenaan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM700,000.

- Bernama

0 comments: