Followers

Tuesday, November 17, 2009

Projek Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim Tanjong Agas siap 2011

KUANTAN: Kerja-kerja membina infrastruktur jalan dan teknikal bagi projek Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim Tanjong Agas, di Pekan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2011.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub, berkata sehingga pertengahan bulan lalu, jalan sepanjang lapan kilometer sudah dibersihkan dan kemajuan fizikal kini di tahap dua peratus.

"Pelaksanaan kerja-kerja membina jalan dan kerja teknikal berkaitan akan mengambil masa selama 16 bulan keseluruhannya," katanya ketika menjawab soalan Leong Ngah Ngah (DAP-Triang) pada persidangan ketiga penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-12 (sesi bajet 2010) di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini

Menurut Adnan, beberapa pelabur yang memeterai Perjanjian Pajakan dan Perjanjian Persefahaman bagi menempatkan pelaburan mereka di kawasan itu kini masih di peringkat kajian dalam persediaan untuk menempatkan projek mereka dan menunggu sehingga kemudahan jalan masuk, jambatan, sistem perparitan dan utiliti berkaitan siap.

Katanya, pelabur yang terbabit adalah syarikat Vantech Dockyard Sdn Bhd, Syarikat Usetech Marine (M) Sdn Bhd, Bitara Abadi Sdn Bhd, Core Competencies Sdn Bhd, Damini Corporation Sdn Bhd dan Competent Selections Sdn Bhd.

Menjawab soalan tambahan Leong sama ada diwujudkan satu badan bersekutu untuk memantau keseluruhan perjalanan projek terbabit, Adnan berkata, kerajaan negeri buat masa ini tidak bercadang menubuhkan sebarang badan pemantauan kerana Perbadanan Kerajaan Negeri Pahang telah diberi tanggungjawab untuk memantau semua perjalanan projek itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan, Datuk Ir Mohd Soffi Abdul Razak, berkata subsidi bekalan air sudah diberikan kerajaan negeri kepada rakyat Pahang sejak tahun 1982 cuma ia tidak dinyatakan dalam bil.

"Bagaimanapun, subsidi itu sudah dipaparkan pada bil mulai Ogos 2009 untuk memaklumkan kepada rakyat perbelanjaan yang ditanggung kerajaan dalam memberikan bekalan air bersih sekali gus memberi kesedaran kepada mereka supaya berhemah menggunakan air," katanya ketika menjawab soalan Choong Siew Onn (DAP-Tras). - Bernama

0 comments: