Followers

Tuesday, November 17, 2009

Terengganu perkenal peperiksaan online

KUALA TERENGGANU: Mulai pertengahan tahun depan, murid darjah enam di seluruh Terengganu akan menduduki peperiksaan secara dalam talian (online) selepas semua murid di negeri itu memperolehi e-Book yang dibekalkan kerajaan negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, berkata murid terbabit akan menduduki peperiksaan bulanan, peperiksaan penggal selain latihan tubi secara online bagi meningkatkan kecemerlangan mereka dalam pelajaran.

"Guru-guru akan menyediakan soalan untuk mereka sebagai latihan melalui e-Book yang diberikan kepada kira-kira 23,000 murid darjah lima tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM23 juta," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan e-Book kepada sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam di sini hari ini.

Seramai 503 pelajar termasuk 22 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (pendengaran) turut menerima e-Book berkenaan.

Ahmad berkata, 10 pelajar yang berjaya mendapat keputusan ujian bulanan terbaik secara online di setiap sekolah akan diberikan hadiah sebagai galakan.

Sementara itu, Ahmad berkata pelajar Terengganu yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok, tidak perlu bimbang jika banjir melanda di negeri itu kerana kerajaan telah membuat persiapan sejak awal lagi.

"Banjir berlaku setiap tahun di Terengganu dan bagi pelajar yang menduduki SPM, kita memang dah sedia pusat peperiksaan yang baru untuk mereka jika banjir," katanya.

Sebanyak 197 pusat peperiksaaan SPM disediakan di seluruh Terengganu dan 90 buah pusat penempatan pelajar diwujudkan jika berlaku banjir. - Bernama

0 comments: