Followers

Thursday, October 29, 2009

Transformasi ekonomi baru


Najib Tun Razak melawat proses pemasangan pesawat Airbus yang direka oleh jurutera tempatan di Spirit AeroSystems Sdn. Bhd. di Subang, semalam. Turut hadir Pengarah Urusan Airport Malaysia, Tan Sri Bashir Ahmad (kiri).


SUBANG 28 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, transformasi model ekonomi baru akan menjadikan negara sebagai penyedia pakej perkhidmatan, kemudahan dan teknologi terbaik yang menjamin pulangan lumayan kepada pelabur.

Menurutnya, sasaran daripada sebuah negara berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi itu juga dapat menukar persepsi bahawa negara ini hanya dikenali sebagai penyedia kos tenaga buruh rendah.

“Kita tidak lagi mahu dikenali sebagai sebuah negara yang hanya mampu menawarkan kekuatan tenaga buruh rendah.

“Tetapi kita mahu Malaysia menjadi negara yang mampu memberi pulangan terbaik kepada mana-mana pelabur bersama kemudahan dan teknologi yang turut ditawarkan dalam pakej,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pusat Kemudahan Pembuatan dan Reka Bentuk Aeroangkasa Malaysia, Spirit AeroSystem Sdn. Bhd. (Spirit) di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Spirit AeroSystem Inc., Jeff Turner dan Pengarah Urusan Spirit Malaysia, Francis Hiew.

Pusat yang dikendalikan Spirit Malaysia, anak syarikat Spirit AeroSystem Inc. berpangkalan di Kansas, Amerika Syarikat (AS) itu merupakan pembekal bebas pemasangan komponen kapal terbang terbesar di dunia.

Ia yang terletak bersebelahan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini berkeluasan 22,336 meter persegi akan mengeluarkan sub pemasangan komposit bagi pesawat ruang sayap tunggal Airbus.

Selain itu, Spirit akan menubuhkan pasukan kejuruteraan reka bentuk dalaman yang akan mengusahakan pemasangan bagi reka bentuk pesawat Airbus terkini, A350 XWB.

Apabila beroperasi sepenuhnya, kemudahan Spirit dijangka memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 450 orang dalam pelbagai sektor pemasangan, pembuatan, kejuruteraan, komersial dan khidmat sokongan.

Tambah Perdana Menteri, berdasarkan semangat Malaysia Boleh, segalanya mampu direalisasikan, malah pelancaran pusat itu juga akan menjadi pencetus kepada kecemerlangan negara dalam industri aeroangkasa.

“Dengan semangat Malaysia Boleh, tiada yang mustahil, saya terfikir Presiden AS, Barack Obama telah meniru tag line kita itu apabila memperkenalkan tag line ‘Yes We Can’, jika diterjemah ia sama,” katanya sambil berseloroh.

Najib mahukan pelabur melihat Malaysia bukan sekadar negara yang sesuai untuk pelaburan tetapi sebagai rakan kongsi strategik dan komitmen negara adalah jelas iaitu sedia berdiri bersama, berjalan seiring, membantu dan menyokong dengan penuh dedikasi.

“Kita akan pastikan agensi dan jabatan kerajaan memberi kerjasama bersungguh-sungguh sebagai suatu entiti dengan fokus menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti.

“Dengan kesungguhan ini diyakini bukan sahaja syarikat pelaburan biasa datang ke negara ini, sebaliknya menarik rangkaian pelabur antarabangsa yang berkualiti dan terbaik untuk melabur di sini,” katanya.

0 comments: