Followers

Thursday, October 29, 2009

Wad remaja di tiga hospital menjelang 2011 - Tiong Lai

KUALA LUMPUR 29 Okt. — Kerajaan akan menubuhkan wad remaja di tiga hospital iaitu hospital di Sungai Petani, Ipoh dan Kota Baharu menjelang 2011 bagi membendung masalah kesihatan melibatkan golongan remaja yang kini semakin meningkat, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia juga memerlukan lebih ramai doktor kesihatan remaja bagi mengawal penularan ”Penyakit Berkaitan Seks” (STD) dan HIV/AIDS di kalangan remaja kini.

"Kita ada beberapa hospital yang menyediakan rawatan kepada remaja yang menjurus ke arah suasana mesra remaja, namun kita akan kuatkan lagi dengan penubuhan wad remaja menjelang tahun 2011.

"Ini kerana dalam tahun 2008, kira-kira 300,000 golongan remaja mendapatkan rawatan di klinik dan daripada jumlah itu sebanyak 4,214 atau 1.4 peratus remaja menjalani rawatan seksual serta masalah kesihatan yang melibatkan reproduktif.

Kita kena lebih peka terhadap isu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Dunia Persatuan Antarabangsa Kesihatan Remaja kali kesembilan di sini hari ini. - Bernama

0 comments: