Followers

Wednesday, October 21, 2009

16 Sept diisytihar cuti awam disambut baik

20th October, 2009

KOTA KINABALU: Semua lapisan masyarakat di negeri ini menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai sambutan Hari Malaysia yang bakal diraikan pada 16 September setiap tahun dan diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.

Mereka menyatakan langkah Perdana Menteri mengisytiharkan tarikh keramat itu sebagai cuti umum, langkah bijak dan akan mengukuhkan lagi perpaduan 1Malaysia.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Salleh Said Keruak menyifatkan pengumuman itu tepat pada masanya dan menunjukkan kesungguhan serta kejujuran Perdana Menteri merealisasikan aspirasi gagasan 1Malaysia.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata, ia satu petanda baik ke arah pembentukan satu rakyat Malaysia yang bersatu padu.

“Ia juga merupakan pengiktirafan yang tinggi terhadap tarikh 16 September iaitu tarikh penyertaan Sabah dan Sarawak dalam gagasan Malaysia.

“Sesungguhnya rakyat Sabah dan Sarawak begitu gembira dan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu,” katanya.

Salleh yakin dengan pengumuman 16 Sept sebagai cuti awam, tahap perpaduan antara rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan bertambah mantap.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim berkata: “Bagi pihak pergerakan pemuda PBS, kami mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri mengisytiharkan 16 September sebagai hari cuti kelepasan am peringkat nasional.

“Sebenarnya Presiden PBS Datuk Joseph Pairin Kitingan sudah pun mencadangkannya sejak tahun 1985. Dengan keputusan itu, Perdana Menteri telah mengangkat status pembentukan Malaysia ke tahap yang sepatutnya dan merupakan satu langkah yang bijak untuk merealisasikan aspirasi gagasan 1Malaysia,” katanya

Golongan pekerja dalam pelbagai sektor awam dan swasta, turut mengalu-alukan dan menyokong penuh pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum seluruh negara.

Florence Gunsalam berkata, tarikh 16 Sept, merupakan satu tarikh yang penting dan harus diingat oleh seluruh rakyat negara ini.

“Sememangnya, inilah (pengisytiharan cuti umum Hari Malaysia) yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah dan Sarawak selama ini.

“Dengan pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum di seluruh negara maka masyarakat akan lebih mengingati dan mengetahui dengan lebih terperinci sejarah pembentukan Malaysia melalui program-program yang akan diadakan sempena sambutan itu.

“Ini kerana kadang-kadang kita dengar ada orang mengatakan “seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” pernyataan ini seolah-olah menunjukkan Sabah dan Sarawak tidak termasuk dalam Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Donna Lai, kakitangan swasta berkata, pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum, pastinya akan mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat negara ini.

Kelmarin, pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.

Ketika mengumumkannya, Najib berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

“Dengan demikian rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar. Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

“Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia,” kata Najib.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.

0 comments: