Followers

Wednesday, October 21, 2009

Usaha sama perlu hadapi bencana

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Para penggendali insurans kerajaan dan swasta perlu menjalin usaha sama membekalkan skim insurans yang sesuai di samping memajukan mekanisme pengurangan risiko, terutamanya ketika menghadapi malapetaka, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Dengan meningkatnya jumlah bencana yang melanda yang dikaitkan dengan perubahan cuaca dan wabak, usaha sama sebegini akan menjadi penting dalam menghadapi kerugian yang terpaksa ditanggung.

"Menurut kajian terkini, kerugian ekonomi yang disebabkan bencana alam dan bencana buatan manusia di seluruh dunia pada 2008 berjumlah AS$269 bilion.

"Asia tersenarai dalam lima tempat teratas bagi bencana terburuk dari segi jumlah kematian pada 2008. Bencana alam di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik baru-baru ini juga menyebabkan kemusnahan yang dahsyat," katanya dalam ucaptama sebelum merasmikan Seminar Persekutuan Insurans dan Insurans Semula Afro Asia ke 21 di sini hari ini.

Zeti berkata, usaha sama yang lebih banyak di kalangan anggota industri serantau dalam bentuk bantuan teknikal dan perkongsian sumber akan meningkatkan kapasiti dan kepakaran untuk menaja jamin risiko sebegini.

"Menerusi usaha sama sedemikian, kebolehan untuk industri insurans menaja jamin dan menginsuran semula risiko berdasarkan keperluan rantau ini akan meningkat," tambahnya.

Sementara beberapa ekonomi maju terus dibebankan oleh pertumbuhan yang lemah kerana proses penyelesaian kewangan yang lembap dan bilangan pengangguran yang tinggi melambatkan proses pemulihan, ekonomi membangun, pada umumnya, dan Asia, khasnya, telah menunjukkan keanjalan, kata Zeti.

"Ketika ekonomi membangun dijangka memacu proses pemulihan, terdapat keperluan bagi penilaian semula strategi untuk pertumbuhan masa depan.

Kebergantungan yang melampau kepada eksport berbanding pasaran tradisi akan meningkatkan pendedahan kepada perkembangan luaran," tambah beliau.

Menuju ke hadapan, ekonomi berkembang kini perlu mencapai keseimbangan antara strategi pembangunan luar dan pengukuhan permintaan tempatan, kata gabenor bank pusat itu.

Zeti berkata, aliran yang semakin berkembang dan prospek pertumbuhan yang menggalakkan di rantau terbabit memberikan peluang yang luas kepada industri insurans dan insurans semula.

Beliau berkata, agregat keseluruhan kedudukan kewangan penanggung insurans di negara-negara yang dilanda krisis terus kukuh, dan pada umumnya tidak terjejas teruk oleh tekanan pencairan atau pendedahan dalam pasaran kredit derivatif.

Zeti berkata, prospek kadar penembusan insuran di rantau ini kekal positif.

Pada 2008, premium insurans mewakili 5.95 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) di Asia dan 3.57 peratus KDNK di Afrika berbanding 7.29 peratus di Amerika dan 7.46 peratus di Eropah.

0 comments: